DALAM suasana yang penuh mencabar ketika ini, ramai mengambil kesempatan untuk menjadi ejen kepada pelbagai jenis produk dihasilkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Namun begitu, lain pula ceritanya dengan satu kes berlaku di Kuantan, Pahang apabila seorang wanita mengakui dirinya seorang ejen bomoh yang mempunyai kebolehan mengutip hutang.

Akibat terlalu percaya dengan ‘ejen bomoh’ berkenaan, seorang peniaga wanita berusia 25 tahun mengalami kerugian RM18,350 diperdaya suspek yang dikatakan berasal dari Sarawak pada 16 April lalu di kedai kosmetiknya.

Sudahlah ditipu, mangsa juga diugut oleh suspek untuk menghantar santau dengan telah meletakkan bungkusan kain berwarna kuning dan merah dalam kedai kosmetik itu.

Disebabkan bimbang dengan ugutan berkenaan, mangsa bagaimanapun telah mencari bungkusan kain tersebut dan mendapati ia hanya berisi cebisan kotak.

Sehubungan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof memaklumkan mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Menurut Mohd. Wazir, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Baca artikel berkaitan: Buku skrip menipu mangsa antara dirampas dari sindiket scam

“Mangsa mendakwa hubungan dengan wanita terbabit semakin rapat apabila sering bertemu sehingga dia menceritakan masalah hutang yang dihadapi dengan seorang lelaki.

“Suspek dikatakan memberitahu mangsa bahawa dia mengenali seorang bomoh dan mengajaknya berubat bagi melembutkan hati pemiutang itu supaya segera memulangkan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Wazir berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membayar RM1,500 secara tunai pada 15 April lalu sebagai upah kepada bomoh disusuli pelbagai bayaran lain termasuk menyerahkan seutas gelang tangan emas sehingga mangsa telah menyerahkan sejumlah RM18,350.

“Mangsa mendakwa dia menyerahkan gelang emas dan wang kepada suspek atas dasar percaya memandangkan suspek semakin kerap datang ke kedainya selain dijanjikan bahawa barang kemas dan sebahagian daripada wang itu akan dipulangkan selepas tamat proses perubatan.

“Namun begitu, mangsa kemudian mendakwa mula berasa curiga apabila orang yang berhutang dengannya masih tidak menjelaskan bayaran selepas hampir sebulan berubat menyebabkan dia meminta suspek memulangkan semua gelang dan wang miliknya,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram