rumah neo-klasik
Pandangan rumah ibu bapa Afiq sebelum, selepas ubah suai dan hiasan sempena Aidilfitri 2021.

“Mak, mak bersyukur tak rumah mak lawa?” Soal Afiq Abdul Hamid, 25 kepada ibunya yang tersipu malu ketika dirakam dalam satu video pendek sambil menunjukkan rumah ibu dan ayahnya yang telah siap diubah suai bagi menyambut kedatangan Aidilfitri.

Kisah 10 adik beradik berkongsi rezeki membaiki rumah lama yang didiami kedua orang tua mereka pernah mendapat perhatian warganet sebelum ini, kini siap sepenuhnya dan tersergam indah dengan wajah neo-klasik.

Ketika ditanya UtusanTV, Afiq berkesempatan menceritakan kembali kisah kegigihan mereka 10 beradik bagi menggembirakan kedua ibu bapa Abdul Hamid Osman, 73, dan Wahida Wahid, 56 yang menetap Kampung Gementi, Bentong, Pahang,

Kata anak kesembilan itu, kos keseluruhan mengubah suai rumah ibu bapa mereka mencecah RM35,000 melibatkan perubahan pada bahagian luaran dan dalaman termasuk menukar perabot yang diguna.

“Sejak kecil lagi mak dan ayah saya memang mengimpikan rumah cantik-cantik, sekarang alhamdulillah semua adik-beradik dah bekerja ada rezeki lebih sikit kami semua sepakat nak penuhi impian mak dan ayah,” ujar Afiq.

Keadaan ruang tamu sebelum (gambar kecil) dan selepas

Afiq menjelaskan bahawa rumah orang tuanya sebenarnya mula diubah suai pada bulan Jun tahun lepas lagi dan ia mengambil masa lebih kurang sebulan untuk proses mengecat serta memasang papan simen pada bahagian dalam rumah tersebut.

Katanya idea itu terbit daripadanya sendiri sebelum mengusulkan kepada sembilan lagi adik-beradiknya yang kemudiannya digambarkan kepada kontraktor yang dilantik mereka.

Baca artikel berkaitan: “Ingat saja-saja pegang sepana” – 2 gadis pomen buat lelaki jatuh hati

Bagi konsep dekorasi rumah pula, Afiq bersama kakak keenamnya, Asida Nadira, 30 serta kakak ipar sulungnya, Airma Ayusneda, 36 memainkan peranan utama dalam memikirkan apa yang ingin diubah memenuhi selera yang dikehendaki.

“Kami akan berbincang sesama sendiri untuk idea-idea konsep dekorasi. Setiap kali saya ada idea, saya akan rujuk kakak ipar sulung saya terlebih dahulu sama ada idea tersebut okay atau tidak sebab dia lebih arif akan perkara ini.

“Saya sendiri pun suka untuk buat aktiviti dekorasi ini. Dekorasi luaran rumah seperti pemilihan dan susunan pokok bunga kebanyakkannya adalah daripada idea saya,” tambah Afiq.

Kawasan ruang makan

Baru-baru ini, Afiq telah memuat naik satu video pendek di laman sosial TikTok memaparkan dirinya serta ibunya yang berjalan kaki di hadapan rumah mereka selepas menunaikan solat terawih di surau kampung tersebut.

Video yang berkapsyen “Mak bersyukur sangat tapi dia malu tengok rumah dia lawa. Takut orang mengata. Manusia kan,” telah mendapat hampir 500,000 tontonan.

Rata-rata pengguna lain yang menonton video tersebut kagum dengan kecantikan rumah baharu orang tua Afiq dan juga memuji ibunya yang begitu merendah diri.

“Weyy… this house make me feel fresh and cool vibes… so in love with your house,” tulis pengguna, @iyrarara di ruangan komen.

“Ada sebab mak cakap macamtu… nampak zuhud orangnya,” ulas @z_zaiful2021 pula.

Menurut Afiq, selepas rumah itu siap diubah suai, rumah tersebut telah menarik perhatian penduduk Kampung Gementi. 

“Bukan setakat jiran-jiran dekat rumah je yang datang nak tengok, malah ada orang yang mak ayah saya tak kenal pun pernah datang sebab nak ambik gambar rumah,” katanya.

“Saya sangat bersyukur rumah mak ayah kami dah siap sepenuhnya dan sempat sambut Aidilfitri tahun ini dengan rumah baharu. Ini semua hasil titik peluh kami semua adik beradik dalam merealisasikan impian mak dan ayah dan juga sebagai salah satu cara kami membalas jasa mereka,” katanya dan menambah tanpa adik-beradik yang lain, pasti projek ini sukar untuk dijalankan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Afiq (tiga dari kiri) bersama-sama adik-beradik yang lain ketika bersetuju untuk ubah suai rumah lama mak ayah mereka pada tahun lalu.