Keangkuhan Iron Dome Israel lebur di tangan roket buatan sendiri Palestin

0
6559
TITIK merah menandakan kawasan Israel yang membunyikan siren ekoran serangan roket pejuang Palestin hari ini. Foto FACEBOOK IDF

JUTAAN penduduk Israel malam ini atau pada pukul 1.30 pagi waktu tempatan bertempiaran lari menyelamatkan diri di tempat perlindungan bom selepas bunyi siren amaran serangan roket dari Gaza oleh kumpulan pejuang Islam kedengaran di seluruh pelosok wilayah itu.

Perkara itu didedahkan laman Facebook Israel Defense Forces selepas kumpulan pejuang Hamas dan Palestinian Islamic Jihad (PIJ) bertindak balas terhadap serangan udara oleh tentera rejim yang mengorbankan komander kumpulan itu selain kemusnahan bangunan dan kematian dialami penduduk awam Palestin.

SISTEM pertahanan udara Iron Dome menangkis serangan roket pejuang Palestin. Foto MEDIA SOSIAL

Apa yang mengejutkan, situasi itu amat jarang berlaku dalam konflik antara Hamas dan Israel  sejak hampir sedekad lalu yang mana agak sukar bagi kita mendengar kadar kemusnahan dan kematian yang teruk dialami pihak rejim.

Menurut jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus, lebih 1,050 roket dilancarkan kumpulan pejuang sejak Isnin yang mana 850 roket sama ada jatuh dan meledak di wilayah itu atau berjaya dipintas sistem pertahanan udara, Iron Dome.

Semalam, kumpulan pejuang mendakwa melancarkan lebih 130 roket ke Tel Aviv, serangan paling hebat pernah dilancarkan kumpulan pejuang ke ibu negara rejim Zionis itu dengan dua orang awam dilaporkan terbunuh dan kemusnahan teruk kepada kenderaan dan bangunan.

SEBUAH bas musnah terkena bedilan roket pejuang Palestin di Tel Aviv kelmarin. Foto MEDIA SOSIAL

Apa yang pasti, kemampuan roket dimiliki Hamas dan PIJ mula membuatkan Israel gerun selepas sebelum ini hanya memandang remeh keupayaan senjata dimiliki pejuang Islam di Gaza.

Memetik laporan Jerusalem Post, dalam konflik Palestin dan Israel, kumpulan pejuang Islam pada awalnya  tidak mampu menghasilkan roket dan hanya bergantung kepada Iran dan negara yang bersimpati dengan Palestin.

Namun tidak mahu terlalu berharap dengan bantuan pihak lain, Hamas akhirnya menghasilkan roket buatan mereka sendiri.

QASSAM merupakan antara roket dimiliki Hamas.

Peluru berpandu Qassam itu tidak mempunyai kemampuan untuk menyerang pada jarak jauh, namun sudah cukup membuat Israel terkejut kerana dengan sumber terhad, kumpulan pejuang Islam masih mampu membuat roket.

Seiring perubahan waktu, kemampuan pembuatan roket oleh Hamas dan PIJ semakin canggih sehingga mempunyai daya letupan yang besar dan jangkauan  terbang yang pelbagai.

Kebanyakan roket-roket itu digunakan Hamas dan PIJ semasa Perang Gaza yang terjadi pada 2014 namun kemampuan kumpulan roket itu mula menjadi menjadi perhatian pada 2019.

Saat itu roket-roket buatan Hamas seperti R-160, M-302D dan M-302B berhasil mencapai jarak yang cukup jauh. Jangkauan peluru berpandu itu mengejutkan kerana berjaya mencapai jarak antara 100-160 kilometer.

IRON DOME sering menjadi kebanggaan tentera rejim Zionis.

Seperti Hamas, PIJ juga memiliki roket yang tidak cukup hebat. Buraq-100 mempunyai jangkauan sejauh 100 kilometer.

Tidak hanya roket jarak jauh, Hamas juga melengkapkan portofolio roket mereka dengan roket jarak pendek yang jangkauannya 70-80 kilometer. 

Roket-roket ini bahkan lebih ditakuti kerana boleh mencapai lokasi-lokasi penting seperti Tel Aviv, Lapangan Terbang Ben-Gurion dan Baitulmuqaddis. Roket-roket tersebut di antaranya J-80, M-75, Fajr-5 dan generasi kedua M-75.

Roket dengan jarak lebih dekat juga dimiliki oleh PIJ iaitu Buraq-70. Ini bersesuaian dengan namanya Buraq-70, ia mempunyai jangkauan maksimum 70 kilometer.

Namun di antara roket-roket itu, yang paling ditakutkan adalah dua roket Hamas iaitu Fajr-3 dan Sejjil-55. 

Roket Sejjil-55 bahkan baru-baru ini berjaya menembusi sistem pertahanan peluru berpandu kebangaan Israel, Iron Dome. Dua penduduk Israel di Ashkelon terbunuh dalam serangan roket Sejjil-55.

Risikan Israel mendakwa, kekuatan roket Hamas memang tidak boleh dipandang sebelah mata. 

Sekurang-kurangnya terdapat 5,000 hingga 6,000 roket terdapat dalam simpanan Hamas. Pelbagai jenis roket itu pula mampu mencapai berbagai wilayah yang ada di Israel.

Tidak hanya roket, Hamas juga memiliki ribuan mortar yang dapat mencapai sasaran Isarel yang ada di sempadan Gaza.

Namun menurut risikan Israel, Hamas lebih banyak memiliki roket jarak pendek jika dibandingkan roket jarak jauh.

Ini mungkin di antara sebab mengapa roket-roket jarak jauh pejuang Islam Palestin tidak begitu banyak digunakan berbanding roket jarak dekat yang sering menyerang Ashdod, Ashkelon dan koridor Gaza.

Ketika ini, Israel memiliki 10 unit Iron Dome yang berperan penting dalam pertahanan berlapis Israel untuk melindungi dari serangan misil jarak dekat, mortar dan roket.

Iron Dome dapat membezakan antara roket yang mengancam wilayah berpenghuni dan yang dianggap tidak terlalu membahayakan. Iron Dome telah menangkis lebih dari 1,500 sasaran antara 2011 hingga April 2016.

Sepanjang konflik dengan Hamas, Israel mendakwa bahawa Iron Dome mencegah 85 peratus dari 400 roket yang dilancarkan dari Gaza yang diramal menyasarkan kawasan penduduk.