ain husniza
Kisah Ain Husniza yang mendapat pelbagai reaksi masyarakat. Gambar: Taipei Times

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Begitulah bunyi peribahasa Melayu yang sangat mementingkan tutur kata dan adab sopan dalam perbualan harian.

Sopan santun dalam budaya masyarakat Melayu tidak terhad kepada kesantunan tingkah laku, bahkan ia meliputi kesopanan bahasa yang mencerminkan akal budi seseorang manusia.

Namun, masih ramai alpa dan leka kerana memikirkan masih tidak ada tindakan yang dikenakan. 

Apabila sudah terkena, nasi sudah menjadi bubur.

Buktinya, baru-baru ini media sosial digemparkan dengan berita tentang seorang warga pendidik membuat jenaka berkenaan rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.

Kes yang tular di media sosial ini bukanlah kes pertama terjadi dalam kalangan rakyat negara ini, malah terdapat pelbagai kes seumpamanya yang tidak mendapat perhatian umum.

Pakar sosial, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran (gambar) berkata, masyarakat kita perlu sedar bahawa ada perkara yang boleh dibuat jenaka dan ada perkara kita perlu ambil serius.

Katanya, negara kita bukan mengamalkan pemikiran “one size fit all” mengambil kira kepada struktur masyarakat majmuk yang wujud sejak zaman sebelum merdeka lagi.

“Benda yang sama kita cuba terapkan di sini adalah jenaka itu biarlah kena pada tempat, tidak semua jenaka boleh diterima setiap orang.

“Contoh, jenaka di Kelantan, mungkin tidak boleh dibuat jenaka di Perak kerana budaya dan norma berbeza,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Ujarnnya, setiap lapisan masyarakat perlu mengikut garis panduan dan mengambil iktibar daripada isu jenaka berkenaan rogol itu.

Baca artikel berkaitan: Jenaka rogol: Tiada lagi alasan Ain tidak ke sekolah, guru berkenaan telah ditukar

Sebelum ini kecoh apabila seorang pelajar tingkatan 5, Ain Husniza Saiful Nizam mendedahkan mengenai jenaka rogol oleh gurunya sehingga menimbulkan perdebatan hebat mengenainya.

Isu tersebut menimbulkan kemarahan banyak pihak di negara ini, termasuk gesaan untuk mengambil tindakan terhadap guru tersebut dalam penambahbaikan sistem pendidikan.

Turut senada dengan Shatar, bekas pensyarah Universiti Cyberjaya, Profesor Dr. Noran Fauziah Yaakub.

“Pada pendapat saya, gurauan seperti ini memang tidak menunjukkan rasa hormat kepada kaum wanita.

“Kalau kita sesuka hati mengeluarkan kata-kata berunsur lucah, itu sahaja telah dikira sebagai gangguan seksual tidak kira niat hanya gurauan semata-mata,” katanya.

Tambahnya, dalam konteks budaya negara kita tiada istilah individualistik di mana cara penyampaian kata-kata itu kena betul supaya tidak ada yang tersinggung atau salah faham.

Dalam pada itu, Shatar turut memuji sikap masyarakat kita yang semakin peka berkaitan hak individu.

Katanya, ia merupakan hak keperibadian dan ada perkara kita boleh sebut dan ada benda yang tidak perlu suarakan.

“Selari dengan perkembangan teknologi semasa, tahap maklumat kita semakin meluas di kalangan masyarakat. Jadi, cara masyarakat kita berfikir juga semakin terbuka dan peka dengan hak keperibadian setiap individu”.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram