ayob khan
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

TAHUN ini merupakan tahun kedua umat Islam seluruh negara meraikan sambutan Aidilfitri secara sederhana dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19.

Rasa rindu yang membuak-buak terhadap keluarga dan sanak saudara di kampung halaman tentunya tidak dapat dibendung apatah lagi dalam suasana lebaran ini.

Pengorbanan orang ramai untuk terus kekal berada di rumah masing-masing dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) penting bagi memastikan lengkuk jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan dengan kadar segera.

Namun begitu, masih ada lagi yang tidak bertanggungjawab dan bersikap degil dengan cuba merentas negeri dan daerah bagi meraikan Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara alasan ‘popular’ untuk merentas daerah atau negeri yang dikenal pasti pihaknya di sekatan jalan raya (SJR) hari ini adalah mahu ziarah ibu bapa dan kubur.

Menurut Ayob Khan, alasan itu nampak mudah tetapi mereka berkeras untuk menjustifikasikan demi membolehkan merentas daerah atau negeri.

Baca artikel berkaitan: Dalam tempoh seminggu, 25,222 mohon rentas negeri, daerah – Ayob Khan

Pada masa sama, kata Ayob Khan, ada juga cubaan menggunakan surat kebenaran merentas daerah atau negeri yang telah digunakan sebelum ini.

“Di Tangkak, kita ada kesan individu yang cuba menggunakan surat kebenaran yang telah digunakan sebelum ini. Hanya mengubah tarikh sahaja.

“Selain itu ada juga cubaan untuk masuk ke Tangkak dari Melaka. Macam-macam alasan yang diberi termasuk mahu ziarah ibu bapa sempena hari raya dan mahu menziarah kubur,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di SJR sempadan negeri Johor di sekitar Tangkak dan Segamat, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis Johor telah meluluskan sebanyak 2,485 daripada 2,596 permohonan rentas daerah atau negeri semalam dengan 111 permohonan telah ditolak.

Selain itu, sebanyak 3,885 kompaun telah dikeluarkan sehingga semalam dengan daerah Johor Bahru Selatan merupakan daerah tertinggi merangkumi 702 kompaun.

“Hari ini kita beri tumpuan kepada laluan atau jalan yang bersempadan dengan negeri lain, sebab itu tadi saya melawat empat SJR di Tangkak yang bersempadan Melaka dan tiga SJR di Segamat.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat semua terus patuhi SOP. Walaupun kita meraikan Aidilfitri tetapi jangan lupa pada SOP dan jangan melanggar peraturan yang ditetapkan. Tujuan kita adalah satu iaitu cuba melandaikan lengkuk COVID-19,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram