Mural rakyat, bukan sekadar kisah mural terbesar Kedah. Ini pengorbanan rakyat biasa

0
46

Ini kisah pengorbanan puluhan tahun rakyat marhaen sejak tiga generasi yang mencari rezeki dan berjasa pada bumi Kedah. Bukan sekadar mahu menempa nama sebagai mural terbesar, namun biar kisah ini terpateri untuk mengenang jasa orang biasa yang selama ini terbiar sepi.

Terima kasih Fadzlan Rizan Johani memberikan warna warni kepada Pekan Buah, Alor Setar. Ikuti perkongsiannya.

“MURAL RAKYAT

Ini bukanlah sekadar hanya kisah mural terbesar di negeri Kedah yang terletak di sebuah bangunan lama di celah Kota Alor Setar.

Ini adalah sebuah kisah pengorbanan puluhan tahun rakyat biasa. Kehidupan mereka yang ada datang sejak 3 generasi mencari rezeki dan berjasa pada bumi Kedah ini.

Kisah bagaimana mereka meredah arus masa melihat sekeliling mereka berubah sedangkan mereka terus setia di Pekan Buah. Merasakan hampir dilupakan dan dipinggirkan oleh segala pembangunan lain.

Jika sebelum ini kita mampu mengangkat kisah mural Kayangan Diraja mahupun mural potret-potret Sang Penguasa atau juga kisah pelukis yang di jaja kehebatannya, adalah suatu tragedi andai mural yang menjadi suatu penghargaan besar terhadap pengorbanan rakyat yang tiada apa ini dibiarkan sepi.

Nah! Aku telah curahkan segalanya jiwa kederatku bagi mengambarkan roh mural ini sebagai tanda kasih mereka yang kini ku anggap keluarga. Terserah pada kalian untuk menyambut cinta mereka! Sambutlah sepenuh hati sebelum segalanya tiada lagi.

Dari rakyat untuk rakyat! Biar jasa kalian jadi kenangan.

(catatan sayu 4 pagi setibanya di Shah Alam dari Alor Setar)”.

“MURAL RAKYAT : TANDA PENGHARGAAN KITA BERSAMA

Alhamdulillah, dengan sedikit pengorbanan kita mampu menjadikan kehidupan rakyat biasa menjadi suatu yang luar biasa.

Bila saya tengok semula gambar asal sebelum kerja mural dan mengecat bangunan dilakukan, suasananya amat suram sekali. Macam tiada masa depan. Tambahan pula ia dipenuhi dengan orang lama yang dipenghujung usia. Seolah-olah usia emas mereka itu tiada lagi harganya…habis ditelan masa.

Dan kini moga nafas baru ini bukan sahaja akan menarik anak muda bagi menyambung legasi Pekan Buah dan juga menghidupkan suasananya tetapi ia turut menjadi tanda penghargaan kepada orang lama.

Bahawasanya hidup yang mereka tempuh sebagai rakyat biasa, tetap bernilai harganya…tetap indah berwarna-warni!

Terima kasih warga Pekan Buah!

#MuralAlorSetar #PekanBuah #MuralMalaysia #Mural #Artwork #Paklan #DP9Studio #DipapansembilanStudio

Photo credit uncle Abaco Tan.”

Lokasi : https://goo.gl/maps/T25gPPcWU872zDpP8

Gambar sebelum.

Gambar selepas.

Sumber : Fadzlan Rizan Johani