Najib Razak Foto FACEBOOK NAJIB RAZAK

DATUK Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi (telco) mempertimbangkan pemberian data percuma bagi tempoh tiga hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Kata bekas perdana menteri itu, langkah tersebut membolehkan pengguna membuat panggilan video selain menggalakkan orang ramai duduk di rumah.

Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat mengelak pengguna daripada melanggar larangan kerajaan membuat lawatan raya berbanding tawaran panggilan biasa percuma tengah malam sahaja.

“Kebanyakan plan sudah temasuk panggilan tidak terhad. Dah lama unlimited call (panggilan tanpa had).

“Ramai juga sudah beralih ke panggilan video pada masa perayaan. Sebab itu, saya rasa ianya lebih bermakna untuk juga memberi data percuma bagi tempoh tiga hari pertama Hari Raya.

“Harap Menteri dan telco-telco yang untung berbilion-bilion pertimbangkan.Ini dah tahun 2021,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

Najib mengulas mengenai langkah syarikat telekomunikasi tempatan yang sepakat menyediakan kemudahan panggilan percuma kepada semua rangkaian dalam negara sempena Aidilfitri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, panggilan percuma itu bermula pukul 10 malam tadi hingga 10 pagi  iaitu hari raya pertama.

Beliau berkata, kemudahan yang digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu dapat dinikmati semua pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo dan YTL.

“Setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

“Pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini.

“Saya berharap kemudahan ini sedikit sebanyak membantu rakyat untuk terus saling berhubung dan mengeratkan silaturahim bersama keluarga tersayang serta rakan taulan, walaupun aktiviti ziarah tidak dibenarkan sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.