Syawal tiba. Ketika Ramadan berakhir, kita disajikan dengan gema takbir, berselang seli dengan dentuman mercun. Tetapi di saat yang sama, saudara Islam kita di Palestin sedang ditindas, dizalimi oleh rejim zionis.

Ketika ruang udara kita bergema dentuman mercun, ruang udara Palestin pula dihiasi dengan ledakam bom yang digugurkan Israel.

Dari penghujung Ramadan sehingga tibanya Syawal, rakyat Gaza terpaksa melalui penderitaan akibat kekejaman Israel. Serangan bertubi-tubi dari tentera zionis membunuh banyak nyawa tidak kira dewasa atau kanak-kanak. Ratusan cedera, kediaman dan bangunan musnah akibat serangan bom Israel yang sengaja mensasarkan orang awam.

Jika diikutkan, boleh dikatakan setiap tahun rejim zionis ini akan menyerang Gaza terutama ketika Ramadan menjelma. Sewaktu umat Islam menyambut kedatangan bulan mulia, itulah juga waktunya Israel akan melancarkan serangan.

Pada sambutan Syawal tahun 2014 pernah menyaksikan Palestin diserang bertubi-tubi oleh Israel. Gaza diserang selama 21 hari hingga mengorbankan lebih seribu nyawa penduduk Palestin dan lebih enam ribu orang lagi cedera.

Namun, serangan zionis di penghujung Ramadan tahun 2021 ini boleh dianggap yang terburuk dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Tentera Israel menyerang penduduk Palestin yang sedang beribadah di Al-Aqsa.

Ia bermula pada hari ke 24 Ramadan apabila mahkamah Israel membenarkan pengusiran secara paksa enam keluarga Palestin dari kawasan rumah mereka di Sheikh Jaraah yang terletak di timur Baitulmaqdis. Keputusan itu telah mencetuskan kemarahan rakyat Palestin.

Warga Palestin berkumpul dan bertarawih di Al-Aqsa. Turut dilaungkan kata-kata semangat dan mengutuk tindakan rejim zionis.

Rasa tercabar, tentera Israel mula menggunakan kekerasan dan menyerang penduduk Palestin di Al-Aqsa, di malam 10 terakhir di mana umat Islam berlumba-lumba beribadah mencari kemuliaan malam Lailatulqadar.

Serangan tentera Israel bukan menakutkan, sebaliknya semakin ramai rakyat Palestin datang membanjiri Al-Aqsa, walaupun tahu tentera zionis  berada di kawasan itu dan melakukan sekatan. Ada antaranya yang siap mengumpul batu disimpan di masjid sebagai senjata jika zionis menyerang.

Tentera Israel terus menyerang orang awam. Ramai yang cedera. Lalu Hamas bersuara memberi amaran.

Pada hari ke 28 Ramadan, Abu Ubaidah yang merupakan jurucakap Hamas (Gerakan Pejuang Islamiyyah) memberi amaran, menyuruh Israel keluar dari Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah. Masa diberi sehingga pukul 6.00 petang waktu tempatan di Gaza.

Abu Ubaidah.

Bila tuntutan Hamas itu tidak dipedulikan dan tentera Israel terus menyerang orang awam di Al-Aqsa, Hamas melalui Bridget Al-Qassam melancarkan roket ke bandar Ashkelon dan Jerusalem. Kenderaan Israel berhampiran sempadan semenanjung Gaza juga diserang.

Tapi tidak semua sampai ke sasaran kerana Israel mempunyai teknologi ketenteraan yang mampu memintas peluru. Pun begitu, ketakutan mula melanda rakyat Israel. Siren amaran berbunyi di merata tempat.

Israel pula membalas serangan dengan mengebom kawasan awam di utara Gaza seperti. Pertempuran saling berlaku, Hamas juga tidak berdiam diri.

Pada 11 Mei iaitu hari ke 29 umat Islam berpuasa, tentera zionis berundur dari Al-Aqsa tetapi masih terus menggugurkan bom ke atas orang awam Palestin. Ramai yang terbunuh dan ratusan orang cedera. Ini termasuk 10 kanak-kanak yang bermain bola juga terbunuh apabila pesawat Israel mengebom kawasan mereka.

Briged Al-Qassam sekali lagi memberi amaran agar Israel berundur sepenuhnya dan menghentikan pengeboman di Palestin sebelum pukul 9.00 malam. Seperti biasa, Israel yang sombong terus membedil rakyat Palestin dan tidak mempedulikan amaran tersebut.

Lalu, tepat jam 9.00 malam, Hamas melancarkan serangan roket bertubi-tubi ke arah kawasan Israel. Amaran roket berbunyi hebat di tempat zionis. Misil A-120 dilancarkan ke Jurusalem buat pertama kalinya dalam sejarah ketenteraan Briged Al-Qassam.

Hamas melancarkan roket ke arah Israel.

Kali ini, rakyat Israel ketakutan kerana roket Hamas mampu pergi jauh, sesuatu yang tidak dijangka oleh Israel. Walaupun Israel mempunyai teknologi pemintas peluru Iron Dome, peluru Hamas masih banyak yang berjaya menembusi Israel.

Serangan berbalas serangan terus berlaku. Selain melalui udara, tentera zionis turut menggunakan tentera darat untuk menyerang rakyat Palestin. Bilangan yang terkorban kian meningkat.

Bayangkan pertempuran tentera zionis dengan orang awam Palestin yang hanya bersenjatakan batu. Lelaki, wanita, kanak-kanak semua tidak gentar mendepani zionis ini walaupun hanya dengan seketul batu.

Israel menggunakan pelbagai cara. Kapal-kapal laut mereka sudah mula berada di lokasi strategik untuk bersedia melancarkan roket ke arah Palestin. Helikopter dan dron digunakan untuk menggugurkan bom di Palestin.

Namun, Hamas juga tidak berdiam diri. Peluru berpandu yang dilepaskan bertubi-tubi dalam masa yang singkat telah banyak jatuh di Israel, mengucar kacirkan penempatan zionis itu. Walaupun begitu, jumlah korban di Palestin ternyata lebih banyak dan besar jurangnya berbanding di Israel.

Malah, media antarabangsa juga melaporkan mereka belum pernah melihat serangan berskala besar seperti ini dalam sejarah Israel.

Palestin terus dibedil rejim zionis.

Walaupun Gaza sedang diserang bertubi-tubi, rakyat Palestin tetap memenuhi ruangan Al-Aqsa untuk solat tarawih dan berjemaah di saat akhir Ramadan. Tiada sekelumit pun rasa takut dalam diri mereka sedangkan bila-bila masa saja nyawa mereka boleh melayang sekelip mata.

Bagi penduduk Palestin, biar menang atau mati syahid. Biarpun hanya dengan batu, mereka bangkit memberi tentangan sengit terhadap tentera zionis.

Banyak kawasan di Israel yang terkesan dengan serangan Hamas sehingga lapangan terbang Tel Aviv ditutup. Pusat jana kuasa mereka diserang, bandar pelabuhan mereka turut jadi sasaran. Malah, Israel turut mengistiharkan darurat terhadap beberapa bandarnya dan mengarahkan rakyatnya berkurung di tempat selamat.

Kali ini Hamas berjaya mengucar-ngacirkan Israel, membuatkan warganya yang sebelum ini ketawa gembira melihat Gaza diserang, kini hidup dalam ketakutan.

Serangan Hamas kali ini menakutkan penduduk Israel yang sebelum itu ketawa gembira melihat Gaza dibedil..

Sehingga ke hari ini, serangan demi serangan masih terus berlaku. Palestin masih terus dibedil rejim zionis. Angka korban kian meningkat.

Namun begitu, dapat kita lihat betapa kuatnya saudara Islam kita di sana mendepani musuh. Tiada rasa takut dalam diri mereka. Sewaktu bulan Ramadan, pertempuran dengan zionis dianggap bagaikan ‘bersahur di dunia, berbuka di syurga’ bagi mereka. Semangat mereka menyala-nyala.

Mereka tidak gerun kerana yakin dengan janji-janji Allah. Mereka tidak takut mati. Golongan yang dilawan Israel ini adalah mereka yang ‘mahu’ mati untuk perjuangan mempertahankan Islam.

Ketika mereka terusan dibedil, rakyat Palestin masih terus turun memenuhi perkarangan masjid A-Aqsa untuk menunaikan solat sunai Aidilfitri. Masya-Allah.

Di saat mereka terusan dibedil rejim zionis, penduduk Palestin tetap memenuhi al-Aqsa untuk solat sunat Aidilfitri.

Dan hari ini, ketika kita masih mampu tersenyum gembira menyambut Syawal, Palestin masih terus dibedil rejim zionis tanpa henti. Di saat kita masih mampu menikmati pelbagai juadah dalam suasana PKP, saudara kita di sana masih berjuang hingga ke titisan darah. Dentuman bom menghiasi sambutan Syawal mereka.

Tangisan Gaza, Syawal berdarah. Sama-sama kita doakan untuk saudara Islam kita di sana.

Perangilah mereka, nescaya Allah akan menghancurkan mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman”. (surah at-Taubah ayat 14)