Akibat mercun buatan sendiri guna botol vape, tangan lelaki hancur

0
1471
Polis mengklasifikasikan kehilangan Nur Elida sebagai Orang Hilang.

BUKAN tak boleh main mercun dan bunga api masa raya, malah lebih 30 jenis bahan tersebut diluluskan untuk penjualan pada Aidilfitri kali ini.

Namun masalah yang sering berlaku adalah mercun haram dan lebih membahayakan buatan sendiri – kononnya sudah pakar kendalikan bahan letupan.

Dari dulu, buluh, paip, tin, besi, botol dan macam-macam kaedah digunakan dalam pembuatan mercun belakang rumah walaupun sedar risiko keselamatan menanti.

Terbaru, ada pula mercun buatan sendiri guna botol cecair vape.

Natijahnya sama, beraya di hospital.

Ini berlaku pada seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Batu Papan, Gua Musang pada 1 Syawal semalam.

Lebih tragis, kecederaan dialaminya dalam kategori parah termasuk hancur tangan kanan.

Ini apabila mercun buatan sendiri menggunakan botol cecair vape meletup di tangannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika mangsa yang berusia 23 tahun itu sedang meraikan 1 Syawal bersama-sama ahli keluarga yang lain.

“Siasatan awal mendapati mangsa membuat sendiri mercun itu dengan menggunakan belerang daripada 50 biji mercun bola yang kemudian dimasukkan ke dalam botol cecair vape yang kosong sebelum dicucuh api.

“Botol berisi belerang itu meletup sebelum mangsa sempat melemparnya,” katanya seperti lapor Bernama.comhari ini.

Baca artikel berkaitan: Bahana mercun: Tubuh abang berkecai, adik terpelanting atas bumbung

Choon Foo berkata, selain hancur tangan kanan, lelaki terbabit cedera di bahagian muka dan pecah gegendang telinga, kesan letupan yang terlalu kuat.

Menurutnya, mangsa yang digegaskan ke Hospital Gua Musang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

“Pihak HSIP memaklumkan tangan kanan lelaki itu terpaksa dipotong namun dia berada dalam keadaan stabil,” katanya menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram