Oleh DATUK SAIFUL BAHAR ARSHAD

Semalam 13 Mei, seluruh negara menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh sederhana, di rumah masing-masing bersama keluarga.

Angka kes baharu Covid semalam ialah 4,855 kes. Hampir cecah 5,000 dengan Selangor mencatat 1,783 kes. Kuala Lumpur pula 521 kes dan Perak mencatat 302 kes.

Kebimbangan kerajaan ialah varian baharu Covid-19 iaitu dari Afrika Selatan dan India. Varian ini lebih pantas merebak (super spreader) dan lebih pantas menjangkiti orang awam.

Kebimbangan ini bukannya dibuat-buat tetapi merupakan satu keadaan yang amat berbahaya kepada kesihatan rakyat. Sebagai contoh, beberapa hari lalu, sudah dikenal pasti satu kluster Covid di Bagan Datuk.

Kluster ini melibatkan ahli keluarga dan masyarakat tempatan yang hadir menguruskan satu kematian. Diberitakan, ahli keluarga dari Kuala Lumpur adalah antara pembawa virus Covid-19 pulang ke kampung di Bagan Datuk ini.

Setakat ini, 28 orang sudah dikenal pasti positif Covid-19. Kontak lain masih lagi menjalani ujian.

Kadar jangkitan kluster ini amat pantas berlaku. Dalam dua hari sahaja, sudah banyak kes positif dikenal pasti. Kemungkinan besar jangkitan ini banyak berlaku di kawasan Hutan Melintang, berdekatan dengan Bagan Datuk.

Kerajaan pada hari ini berada dalam keadaan yang amat tidak popular apabila mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP), tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Seperti kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, “Saya tahu rakyat marah kepada Kerajaan.
Tetapi, PKP 3.0 ini perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat.’’ Kemungkinan usaha ini dilihat tidak popular tetapi perlu dilakukan segera. Kesihatan rakyat berada di dalam keadaan berbahaya.

Apa pun, dalam seminggu dua ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN), kelihatan tidak mempunyai perancangan dan strategi yang kemas untuk berhadapan dengan varian baharu Covid-19 ini.

Banyak flip flop di dalam keputusan serta arahan yang diberi kepada agensi-agensi penguat kuasa. Semua flip flop ini memeningkan rakyat yang pada ketika itu, akan menyambut perayaan Aidilfitri.

Justeru itu, paling tidak MKN perlu dirombak, dengan meletakkan pegawai kanan yang benar-benar layak dan berpengalaman melakukan perancangan dan strategi untuk terus berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

  • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.