Benarkah ahli kubur menangis saat takbir bergema? Ini jawapannya…

0
314
ahli kubur menangis

Mungkin ada yang pernah mendengar orang-orang dahulu melarang bertakbir sebelum tibanya hari raya. Apabila bertakbir sebelum tiba hari raya, mayat di dalam kubur akan meraung, dan menangis kerana tidak dapat bersama-sama meraikan hari raya.

Namun apa yang dikatakan oleh orang dahulu sebenarnya tidak tepat sama sekali, kerana tidak ada nas, dalil atau hukum yang menunjukkan tentang penghuni kubur menangis apabila takbir bergema sebelum tiba hari raya.

Akan tetapi yang sebenarnya, orang-orang yang telah mati ini akan menangis apabila tamatnya bulan Ramadan. Ini kerana terdapat riwayat yang mengatakan, sepanjang bulan Ramadan, penghuni neraka yang sedang diazab dan diseksa, akan diberi kerehatan dalam menjalani seksaan.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.  sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Ketika datang bulan Ramadan, sungguh telah datang kepada mu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu jannah dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan- syaitan dibelenggu.

Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barang siapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik di dalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).”  – HR. Ahmad, Nasai dan Baihaqi

Dalam memahami permasalahan ini, apabila bertembungnya antara syariat dan adat, maka syariat perlu diutamakan, kerana syariat merupakan panduan yang tepat, berdasarkan kepada al-Quran dan as-sunnah. 

Amalan Ziarah Kubur

Apabila tibanya hari raya, satu lagi adat yang mula mengukuh dalam kalangan masyarakat kini adalah menziarahi kubur selepas solat raya. Secara asasnya menziarahi kubur ini sesuatu perkara yang baik dalam Islam.

Walaupun di awal perkembangan Islam, Nabi s.a.w. melarang umatnya untuk menziarahi kubur, kerana bimbang akan wujud kepercayaan lama terhadap berhala atau lambang. Namun apabila dilihat iman para pengikutnya sudah kukuh dan mantap kepada Allah, maka larangan tersebut ditarik balik.

Bahkan Baginda s.a.w. menggalakkan pula umatnya untuk sentiasa menziarahi kubur, sebagai cara untuk bermuhasabah dan mengingati mati. Di kalangan para ulama sepakat menyatakan, harus bagi lelaki menziarahi kubur tanpa ada batasan waktu.

Namun terdapat khilaf dalam masalah wanita menziarahi kubur. Ada pandangan yang mengatakan wajar, dan ada juga yang merasakan tidak perlu bagi wanita untuk ke kubur.

Hanafi berpendapat, sunat bagi lelaki atau wanita menziarahi kubur. Dan Maliki pula berpendapat, makruh bagi wanita yang muda dan cantik ke kubur. Berbeza pula dengan wanita yang sudah tua dan tidak ada nafsu, mereka ini dibolehkan untuk menziarahi kubur.

Manakala Imam Syafie pula berpendapat, sunat bagi sesiapa sahaja menziarahi kubur terutama menziarahi kubur orang yang soleh.

Oleh itu jumhur ulama fuqaha menyatakan, sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita kerana, wanita ini terkenal dengan jiwa dan emosinya yang lembut. Ditakuti apabila ke kubur mereka akan meraung dan meratap kesedihan, selain bagi mengelakkan fitnah.

Harus jika untiuk kesedaran diri

Memang benar menziarahi kubur perkara yang baik kerana apabila sentiasa mengingati kematian, maka jiwa yang keras nescaya akan menjadi lembut, terutama apabila memikirkan azab yang akan diterima sewaktu berada di kubur.

Namun menjadi permasalahan di sini, apabila menetapkan waktu utama adalah pada hari raya sahaja, sedangkan menziarahi kubur ini jika mengikut dalilnya boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

Dan seandainya amalan menziarahi kubur menyebabkan ingat kepada kematian, hingga mendatangkan keinsafan pada diri  maka itu dibolehkan.

Akan tetapi apabila melihat kepada senario kini, seolah-olahnya menziarahi kubur selepas solat raya, seakan menjadi satu adat dalam masyarakat, hingga menjadi satu temasya, ini yang tidak dibolehkan.

Haram hukumnya menziarahi kubur jika berlaku perkara yang bertentangan dengan syariat

Apatah lagi, apabila di kalangan mereka, tidak menjaga adab-adab ke kubur seperti membuat bising dan bergelak tawa. Seolah-olahnya, kubur bukanlah satu tempat untuk memberi keinsafan tetapi sudah seperti taman hiburan.

Dengan berpakaian yang tidak sesuai, tidak menutup aurat, bercampur lelaki dan wanita yang bukan mahram, dan sebagainya, bukankah ini bersalahan dengan syariat Islam. 

Masyarakat seharusnya menzahirkan matlamat yang jelas, mengapa kita disuruh meraikan hari raya, dan melaksanakan ibadah ketika berhari raya.

Perlu kita lihat nawaitu ibadah kita, sama ada kerana Allah atau kerana adat. Jika kita buat kerana Allah pastinya ada ganjaran pahala yang mengiringi ibadah kita, tetapi jika kita lakukan kerana adat maka hanya sia-sialah segala usaha kita.

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram