hael husaini

KEMERIAHAN Aidilfitri pada tahun ini memberi seribu memori indah buat penyanyi Hael Husaini.

Meskipun tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman, namun sambutan Lebaran diisi dengan kehadiran sepasang bayi kembar lelaki yang menjadi anak angkatnya.

Pelantun lagu Nuraga itu berkongsi berita gembira bersama dengan beberapa keping foto dalam akaun Instagramnya.

Menerusi gambar tersebut, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Ramzi,34, turut mengabadikan gambar kenangan bersama anak angkat sulungnya, Nur Helena bersama bayi kembar itu dan memilih menyarungkan pakaian berwarna ungu.

“Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin daripada kami Hael, Helena dan bayi kembar Haelmy dan Haelman,” tulisnya.

Menjengah di ruangan komen, ramai rakan selebriti dan pengikutnya gembira dengan perkongsian berkenaan.

Dalam pada itu, ada juga usikan ‘nakal’ daripada seorang individu yang ditinggalkan di ruangan komen yang bertanyakan tentang pasangan hidup Hael.

“Haelmummy je tak ada lagi,” tulis individu terbabit.

Sebelum ini, Hael mengambil anak angkat perempuan pada 2017 iaitu Helena yang kini berusia empat tahun.