
BENARLAH lebih cepat mendapat vaksin, lebih awal peluang untuk kembali kepada kehidupan normal.
Ini sekali gus mengurangkan kos kepada ekonomi akibat sekatan pergerakan yang diperlukan bagi mengawal penularan COVID-19 setiap kali peningkatan mendadak kes.
Sebab itu, tidak hairan dari awal mengapa negara maju memutuskan berbelanja besar membeli vaksin COVID-19 pada harga berlipat kali ganda selain melabur dalam pembangunannya – biar pun dikritik sebagai membolot vaksin.
Terbaru, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan satu pencapaian penting dalam peperangan melawan COVID-19 apabila tiada lagi larangan memakai pelitup muka sama ada di tempat terbuka mahu pun tertutup.
Bagaimanapun ini terpakai untuk mereka yang sudah mendapat dua dos suntikan vaksin – dengan lebih satu pertiga daripada 300 juta rakyatnya telah lengkap menerima suntikan.
Presiden AS Joe Biden berkata, rakyat negara itu kini berhak ‘senyum kembali’ (tanpa dihindari pelitup) dengan keputusan tidak perlu memakai pelitup muka.
“Ia satu kejayaan yang hebat dan hari yang baik,” katanya dalam perutusan yang disiarkan dalam televisyen dari White House.
Berdiri dekat dengannya Kamala Harris dan kedua-duanya tidak lagi memakai pelitup muka – memberi mesej gembira kepada rakyat republik itu.

Dalam ucapan itu, Biden dengan bersemangat berkata, keputusan itu adalah satu kemenangan besar dalam pertempuran melawan pandemik COVID-19 lebih setahun lalu serta mengakibatkan setengah juta kematian rakyat AS.
Katanya, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS menjelaskan keputusan itu hanya kepada mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Justeru, beliau meminta rakyat AS yang masih belum menyempurnakan suntikan vaksinisasi perlu terus memakai pelitup muka.
“Sila jaga diri anda sendiri sehingga kita benar-benar menang melawan COVID-19.
“Kita tahu betapa bahayanya virus ini. Perkara paling selamat bagi negara ini adalah setiap orang perlu divaksin,” katanya.

Pengganti Donald Trump itu juga mengingatkan mengenai kematian jutaan orang dan hasrat ramai yang merindui keluarga masing-masing untuk berkumpul dan meraikan perayaan.
Beliau turut memuji rakyatnya yang didakwa menghadapi cabaran pandemik itu dengan baik, berbanding beberapa negara lain.
“Rakyat AS melakukannya yang saya anggap sebagai semangat patriotik untuk negara. Saya sebagai Presiden saya gembira.
“Situasi di sini berbeza berbanding negara-negara lain, bahkan negara yang kaya raya yang masih terperangkap dengan program vaksin yang perlahan serta situasi ekonomi yang tidak berkesudahan,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: PKP usaha ‘membeli masa’ menanti kita divaksin
Biden angkat sumpah Presiden AS ke-46, ikrar tangani COVID-19
Kes COVID-19 AS juga semakin berkurangan malah kematian turun sehingga 69 peratus sejak April lalu.

Pada awal tahun ini, AS mencatatkan kes baharu dan kematian yang tinggi antara lain akibat kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang rendah.
Ketika itu, kes kematian akibat COVID-19 mencecah 4,000 orang sehari dengan 250,000 penularan baharu dilaporkan.
Ini menjadikan AS secara kumulatif mencatatkan kes COVID-19 tertinggi di seluruh dunia dengan lebih 33 juta kes.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram