Pasti ramai yang tidak mengetahui apakah itu kek kepala meja?  Ketika bertemu Cef Fazalina Ismail di kediamannya di Segamat, Johor dia ada menceritakan kisah tradisi kek kepala meja yang kini semakin dilupakan.

Menurut Cef Fazalina, kek kepala meja adalah kek biasa yang dihias cantik mengikut cita rasa tuan rumah. Kek kepala meja ini amat popular sekitar tahun 40an sehinggalah awal 80an. Ia sangat popular di kalangan orang Johor Bahru dan Singapura.“Saya dilahirkan di Singapura, kerana arwah abah bertugas sebagai Tentera Laut Di Raja Malaysia yang berpengkalan di Woodland. Sejujurnya, sejak dari kecil lagi saya sudah mengenali tradisi ini.

“Setiap kali tibanya Aidilfitri, pasti ada kek kepala meja terhias indah di atas meja. “Kek kepala meja juga dikatakan mempunyai pantang larangnya. Kek ini tidak boleh dipotong atau dimakan sewenangnya. Sebaliknya  tetamu akan meletakkan sedikit wang berdekatan kek sebagai tanda hormat pada tuan rumah yang menyediakan kek kepala meja ini.

Tambah Cef Fazalina, selain adat tanda hormat pada tuan rumah, ada juga setengah masyarakat yang menggunakan kek kepala meja ini untuk mencari calon menantu. Sekiranya tetamu berkenan dengan anak dara si tuan rumah, si teruna akan meletakkan sejumlang wang di bawah kek, lalu memotong dan menjamah kek tersebut.

Tradisi kek kepala meja popular di kalangan orang Johor Bahru dan Singapura.

“Tuan rumah pula akan mengintai dari dalam siapakah gerangan yang berkenan pada anak gadisnya itu. Kemudiannya kek tersebut tidak lagi dihidangkan di atas meja. Sebaliknya akan dinikmati oleh tuan rumah.

“Tetapi hari ini, amalan sebegitu sudah jarang dibuat orang. Sebaliknya kek kepala meja akan diletakkan di samping hidangan-hidangan lain. Jika ada yang ingin merasa kek kepala meja haruslah meletakkan duit sebagai tanda hormat.“Ada juga yang meletakkan puding atau lengkung, menggantikan kek kepala meja. Ia mengikut  kemampuan masing-masing. Kebiasaan kek yang sentiasa menjadi pilihan si tuan rumah,” cerita Cef Fazalina.

Namun kini, kek kepala meja semakin dilupakan dan tidak lagi diamalkan di Malaysia mahupun di Singapura.  Dek kerana itulah, ramai yang tidak mengenali tradisi kek kepala meja.