SEKIAN lama tidak memuat naik gambar bersama di laman sosial, akhirnya pasangan selebriti Shamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana berkongsi gambar mereka sekeluarga ketika sambutan Aidilfitri.

Sebelum ini, pasangan ini berdepan dengan kemelut rumah tangga dan masing-masing tidak lagi memuat naik gambar bersama.

Namun mengambil keberkatan bulan penuh mulia dan kemaafan ini, menerusi akaun Instagram Puteri Sarah, selain gambar bersama suami dan anak-anak, dia turut memuat naik foto bersama ibu bapa serta keluarga mentuanya.

Menerusi pemerhatian URTV di ruangan komen, ramai gembira melihat situasi berkenaan dan ada yang telah lama menanti gambar pasangan selebriti itu di media sosial.

Malah, rakan selebriti dan netizen turut mendoakan hubungan mereka berkekalan sehingga akhir hayat.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila rumah tangga pasangan ini mula berantakan angkara orang ketiga.

Malah, kehadiran Puteri Sarah ke pejabat agama sekitar September tahun lalu turut menguatkan lagi desas-desus mengenai keretakan rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, mereka memilih untuk mencari titik penyelesaian sendiri meskipun masih ada yang kurang senang melihat mereka telah kembali harmoni.

Puteri Sarah dan Syamsul bernikah pada 8 Mac 2014. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam,4, dan Sumaiyyah yang kini berusia dua tahun.