SUASANA Aidilfitri di Batu Pahat semalam, tercemar dengan sikap tamadun kumpulan mat rempit yang membakar suar sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Bagaimanapun polis bertindak pantas apabila menangkap 20 orang yang dipercayai terlibat merusuh termasuk mereka membuat, mengantung kain rentang dan membakar suar di Parit Raja, Batu Pahat itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata, rata-rata tangkapan berumur di antara 16 hingga 28 tahun dan merupakan penduduk setempat.

“Sehingga kini pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas 20 orang. Semua mereka telah diperolehi perintah tahanan reman selama empat hari sehingga Isnin, 17 Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, semua mereka ditahan susulan operasi mengesan dan menangkap yang dijalankan polis sebaik sahaja maklumat diterima.

Hasil siasatan juga mendapati kejadian semalam berlaku pada lebih kurang jam 2.00 pagi di persimpangan Pekan Parit Raja di KM 22.5 Jalan Batu Pahat – Kluang.

“Kumpulan tersebut yang dianggarkan seramai 40 orang telah membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada pengguna kenderaan yang malalui jalan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian mereka selain merentang kain rentang bertulis ‘ kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.

“Kain rentang yang sama juga telah dibawa dan digantung di jejantas di hadapan SJKC Kong Nan sejurus selepas kejadian,” katanya.

Menurut Ismail, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) serta juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Siasatan lanjut masih dijalankan, katanya lagi.