JIKA semalam kes harian COVID-19 menghampiri 5,000 kes, hari ini pula menyaksikan sedikit penurunan dengan 4,113 kes.

Penurunan dari 4,855 kes itu antara lain berikutan jumlah kes di Selangor hari ini yang lebih rendah.

Semalam, Selangor mencatatkan 1,783 kes namun hari ini penularan di negeri tersebut turun kepada 1,269 kes.

Jumlah tersebut bagaimanapun masih tertinggi untuk hari ini diikuti Sarawak, 533 kes dan Kelantan 371 kes.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di media sosial, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Baca artikel berkaitan: 4,855 kes baharu, Perak naik lepasi 300 hari ini

Kes sparodik, varian baru kenapa PKP 3.0 diperlukan – KP Kesihatan

Selain itu, terdapat sembilan lagi negeri yang melaporkan tiga angka kes baharu termasuk di Pahang dan Terengganu yang beberapa hari lalu masih dua angka.

Hari ini menyaksikan Johor mencatatkan 335 kes diikuti Kuala Lumpur (306 kes), Pulau Pinang (266 kes), Kedah (228 kes), Pahang 9178 kes), Terengganu (165 kes), Perak (147 kes) dan Melaka, 107 kes.

Paling rendah kes baharu ialah Perlis, lima kes diikuti Labuan, enam kes.

Sementara itu, jelas Noor Hisham, sebanyak 34 kematian dilaporkan yang kesemuanya melibatkan warganegara.

“Lapan kes adalah di Selangor,masing-masing enam kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, empat kes di Kelantan, tiga kes di Kedah, masing-masing dua di Sabah dan Melaka, serta masing-masing satu kes di Sarawak, Perak, dan Terengganu,” jelasnya.

Katanya, pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula berjumlah 482 orang dengan 250 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tambah beliau, hari ini juga menyaksikan hanya satu kes import iaitu melibatkan seorang bukan warganegara dilaporkan.

Katanya, daripada 4,112 kes tempatan, 3,791 adalah terdiri daripada rakyat Malaysia.

“Keseluruhan kes COVID-19 yang dilaporkan kini berjumlah 462,190,” jelasnya.

Dalam pada itu, kadar kes sembuh yang dilaporkan hari ini juga tinggi dengan 4,190 kes – mengatasi penularan baharu.

Ini membolehkan kes aktif yang dirawat di seluruh negara berjumlah 41,471.

Keseluruhan kes sembuh ialah pada kadar 90.6 peratus dengan 418,897 kes.

Dalam pada itu, sebanyak 13 kluster COVID-19 baharu dilaporkan hari ini yang terdiri daripada tempat kerja, komuniti, keagamaan, kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan.

Negeri yang melaporkan kluster baharu pula iala Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu.

Sejak beberapa hari lalu, kes harian COVID-19 menyaksikan lebih 4,000 penularan yang menimbulkan kebimbangan ramai.

Kes tertinggi dilaporkan di Selangor yang konsisten mencatatkan kes empat angka kebelakangan ini dan negeri lain yang banyak melaporkan penularan baharu termasuk Sarawak, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram