JIKA diikutkan, di Singapura sudah 1.284 juta orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

Namun berikutan peningkatan kes dalam komuniti khususnya yang tidak dapat dikenal pasti punca jangkitan, Singapura kembali memperketakan sekatan terhadap penduduknya – tanpa bergantung sepenuhnya kepada imuniti kelompok susulan program vaksinisasi.

Antara lain, sekatan yang diumum hari ini ialah saiz perkumpulan yang dibenarkan hanya dua orang berbanding lima sebelum ini.

Selain itu, restoran pula hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran.

Sekatan ketat selama empat minggu bermula 16 Mei ini dilaporkan menghampiri ‘lockdown’ yang dilaksanakan setahun lalu iaitu di awal penularan COVID-19 dikesan di rantau ini.

Memetik media tempatan, sekatan lebih ketat bagi membendung virus itu akan berlangsu hingga 13 Jun 2021 seperti diumum Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF).

Pada sidang media maya hari ini, pengerusi bersama MTF Gan Kim Yong berkata, walaupun pada 8 Mei lalu Singapura telah mengambil langkah berjaga-jaga namun masih terdapat peningkatan kes komuniti.

“Sejak seminggu lalu, 71 kes jangkitan tempatan dicatatkan. Sebahagian besar dikaitkan dengan kes atau kluster sedia ada. Tetapi kita mencatatkan 15 kes yang tidak punyai kaitan.

“Ini membimbangkan kerana kita tidak dapat kenal pasti punca jangkitan ini. Ini bermakna ada kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti,” kata Kim Yong merangkap Menteri Kesihatan.

Baca artikel berkaitan: Kes sparodik, varian baru kenapa PKP 3.0 diperlukan – KP Kesihatan

Beliau berkata, usaha pengesanan, pengasingan dan membendung jangkitan sedang giat dilaksanakan.

Kontak rapat yang dikuarantin mungkin ada yang positif dalam beberapa hari lagi, katanya.

“Kita di bawah fasa berjaga-jaga. Kita perlu bertindak pantas untuk memutuskan rantaian jangkitan virus. Oleh itu, langkah-langkah keselamatan akan diperketatkan,” ujar Menteri Kesihatan Singapura itu.

Daripada laporan The Straits Times Singapura, Kim Yong berkata, negara itu tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan kaedah vaksin dalam memutuskan rantaian COVID-19.

Katanya, ini kerana ada kumpulan tertentu yang tidak dapat divaksin atas faktor perubatan.

“Vaksin salah satu cara dalam berperang COVID-19, namun kaedah lain iaitu penjarakan fizikal, pengesanan kontak juga sama penting.

“Itu adalah cara melindungi Singapura,” katanya.

Memetik laporan Bernama, baru-baru ini, Singapura melaporkan kluster baharu di Terminal 3 Bandar Changi dengan jumlah 46 kes setakat ini.

Selain itu sejak dua minggu lalu jangkitan membabitkan kluster Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Hospital Tan Tock Seng, Pusat Rawatan Komuniti Tuas Selatan dan Terminal Pasir Panjang telah dikesan.

Sehingga tengah hari semalam, kes di Singapura berjumlah 61,453 dan 11 kluster.

MIF berkata sejak semalam, Singapura sudah menyuntik lebih 3.2 juta dos vaksin COVID-19.

Kira-kira 1.9 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala hampir 1.3 juta lagi telah disuntik kedua-dua dos, katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram