UPSI raikan Aidilfitri bersama mahasiswa di kampus

0
428
upsi

Sempena ketibaan Aidilfitri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif meraikan sambutan hari lebaran dengan menyediakan juadah istimewa kepada mahasiswa-mahasiswa pada pagi raya.

Seramai 1398 orang mahasiswa termasuk pelajar-pelajar tahun akhir, pelajar-pelajar antarabangsa serta pelajar-pelajar pasca siswazah yang tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman diraikan dengan menerima hidangan seperti sate, nasi hujan panas serta kuih muih.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang mengetuai misi pengagihan juadah raya berkata, usaha dilaksanakan UPSI merupakan salah satu inisiatif universiti  cakna terhadap kebajikan warganya yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.

“Kita akur dengan keputusan pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan bermula 12 Mei hingga 7 Jun. Walaupun universiti telah menguruskan sebahagian pelajar pulang kediaman masing-masing sejak 7 Mei yang lalu, bagaimanapun terdapat sejumlah pelajar yang masih berada di kampus tetap diraikan agar mereka dapat merasai nikmat hari raya sungguhpun jauh dari keluarga,” jelasnya.

Seramai 36 orang sukarelawan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) serta empat orang pegawai pengurusan turut serta membantu mengagihkan makanan melalui penyerahan kepada Pengetua-pengetua dan Felo-felo kolej kediaman termasuklah Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK)

Menurut Yang Dipertua MPP UPSI, Nur Shafiq Iqwan Shafiruddin berkata misi pengagihan makanan juadah hari raya ini merupakan pengalaman unik dan amat berharga buat seluruh sukarelawan yang mungkin sukar dilupakan sepanjang hayat mereka.  

“Dua tahun ini penuh dengan cabaran, bagaimanapun banyak yang kami pelajari. Saya berharap agar mahasiswa-mahasiswi UPSI tetap tabah dan gembira di saat sahabat-sahabat yang lain sedang meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman. Jadikan pengorbanan ini sebagai satu titik permulaan agar kita semua dapat mendepani dugaan dan cabaran yang akan mendatang kelak,” tambahnya.

Gambar: Taufiq Bahari