Dedah dapat pulang beraya di kampung, Masya Masyitah disiasat polis

0
1240
masya masyitah

PENYANYI Masya Masyitah akan disiasat oleh pihak polis selepas didakwa menggunakan surat merentas negeri ibunya untuk menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Kulim, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, beliau mengarahkan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, artis terbabit didakwa pulang ke kampung menggunakan surat kebenaran merentas negeri pasangan jarak jauh disebabkan ibu dan bapanya tinggal berjauhan.

“Setakat ini saya boleh katakan, siasatan masih dijalankan dan kita akan tengok adakah benar apa yang ditularkan di Facebook (FB).

“Sekiranya ada unsur yang menyalahi undang-undang, tindakan tegas akan diambil terhadap artis terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sebelum ini timbul kekecohan setelah pihak media melaporkan, Masya atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff memohon maaf dan memberi penjelasan mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak berkuasa untuk pulang ke Kulim atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

Selepas mendapat pelepasan rentas negeri seperti yang dimohon, secara tidak langsung dia juga berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas mereka terpisah dengan bapa serta adik beradik berikutan tidak boleh merentas negeri pada sambutan raya tahun lalu.

Bagaimanapun, penjelasan penyanyi berusia 21 tahun itu mengundang rasa kurang senang warganet di laman sosial.

Masya teruk dihentam selepas netizen mendakwa dia mengambil kesempatan merentas negeri menggunakan tiket kebenaran ibunya.