Hari Raya, ini 4 fakta yang perlu anda tahu…

0
74
fakta tentang hari raya

Setiap kali menjelang hari raya kita disunatkan untuk melaungkan takbir sebagai memuji kebesaran Allah dan bersyukur di atas nikmat pemberian-Nya. Suruhan bertakbir disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 185, Allah S.W.T. berfirman,

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (takbir) kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

Ada 4 fakta berkait dengan hari raya iaitu,

Pertama: Sejarah takbir raya

Takbir yang pertama kali diungkapkan sebagaimana yang terangkum dalam lafaz Aidilfitri kini, bermula apabila Rasulullah s.a.w. mengucapkannya selepas kemenangan umat Islam dalam perang Badar pada 17 Ramadan tahun pertama hijrah.

Dalam perang tersebut jugalah Abu Lahab berjaya dibunuh dengan dipenggal kepalanya. Ada riwayat mengatakan, ketika Baginda melihat kepala Abu Lahab itulah terungkapnya lafaz takbir dari mulut Rasulullah s.a.w. Dan bermula pada tahun tersebut jugalah, umat Islam menyambut Aidilfitri yang pertama.

Hari Raya hari bergembira

Kedua: Waktu Takbir

Waktu untuk bertakbir berbeza antara dua hari raya. Bagi hari raya Fitrah ia mula dialunkan selepas terbenamnya matahari, pada hari akhir Ramadan (masuk waktu maghrib) hingga selesai solat hari raya.

Manakala takbir hari raya Adha pula pada petang hari Arafah (9 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyriq (10 hingga 13 Dzulhijjah)

Ketiga: Sejarah sambutan Hari Raya

Sejarah hari raya bermula ketika Baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati penduduk Madinah termasuk yang sudah memeluk Islam, meraikan satu perayaan setiap tahun iaitu Hari Raya Nainuz dan Majrajan.

Lalu Baginda s.a.w. bertanya kepada kaum Muslimin yang turut meraikannya, “Hari apakah ini?”. Jawab mereka, “Hari raya kami. Pada hari ini kami bersuka ria dan bergembira sejak dari zaman jahiliah lagi.

Lalu Baginda s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah S.W.T. telah menggantikan dua hari raya yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu hari raya Fitrah dan hari raya Adha.”

Keempat: Maksud A’id

A’id adalah pecahan dari kalimah al-‘Aud yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya dengan nama demikian kerana ia kembali (yakni berulang-ulang) pada setiap tahun atau kerana kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram