Tragedi Ketupat Berdarah Sambas pada 1 Syawal. Rusuhan kaum di pagi Aidilfitri yang meragut nyawa

0
1369

Ketika pagi Syawal menjelma, selalunya kita akan bergembira dan saling bermaaf-maafan sambil menikmati juadah istimewa hari raya.

Namun, pernah berlaku satu tragedi berdarah dalam catatan sejarah yang terjadi di pagi Aidilfitri. Ia dikenali sebagai ‘tragedi ketupat berdarah Sambas’ yang berlaku pada tahun 1999 di antara kaum Melayu Sambas dan kaum Madura.

Peristiwa yang bermula dari satu pergaduhan kecil ini akhirnya mencetuskan ketegangan di antara kedua kaum yang memacu kepada pertumpahan darah di pagi hari raya.

Tragedi ini berlaku pada 19 Januari 1999 bersamaan dengan 1 Syawal 1419 Hijriah di Kampung Parit Setia di daerah Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia.

Puncanya dikatakan bermula beberapa hari sebelum Aidilfitri. Ketika itu dalam bulan Ramadan, beberapa pemuda dari kaum Madura telah ditangkap ketika memecah masuk ke dalam rumah seorang Melayu Sambas untuk mencuri.

Berlaku tuduh menuduh antara pemuda Madura itu dan penduduk Melayu Sambas yang membantu menangkap pencuri itu. Ada yang hilang sabar sehingga ‘naik tangan’ ke atas pemuda-pemuda Madura itu sehingga cedera.

Bermula dari peristiwa itu, masyarakat Madura mula berasa marah dan tidak senang hati dengan masyarakat Melayu Sambas. Pada mereka, pemuda-pemuda Madura itu bukan hendak mencuri, tetapi lebih kepada tersalah masuk rumah kerana mabuk selepas minum arak.

Namun, kaum Melayu Sambas tetap mengatakan pemuda Madura itu mahu mencuri. Ada versi mengatakan pemuda Madura ini mengetuk pintu rumah orang Melayu Sambas dan bercakap kasar. Ada juga yang mengatakan mereka ini tertangkap kerana mencuri ayam.

Kisah pemuda Madura yang ditangkap mencuri ketika mabuk ini terus menjadi perbualan sehingga tersebar ke kampung-kampung berdekatan.

Tidak tahan kaum mereka terus diperkatakan dan isu itu diperbesarkan, kaum Madura yang menyimpan amarah akhirnya naik berang dan mengambil tindakan berani dengan mengamuk di kampung tersebut tepat pada 1 Syawal, ketika masyarakat Melayu Sambas sedang gembira menyambut Aidilfitri.

Perkelahian antara kaum Madura dan Melayu Sambas di pagi raya menjadi tidak terkawal. Beberapa lelaki Madura telah mengeluarkan celurit, senjata peribadi mereka yang akhirnya meragut nyawa tiga pemuda Melayu Sambas.

Celurit, senjata yang digunakan kaum Madura.

Berita tentang rusuhan itu telah tersebar ke kampung-kampung lain menyebabkan kaum Melayu Sambas tampil menuntut keadilan. Pada mereka, kaum Madura yang merupakan pendatang di tempat mereka harus diajar.

Jika dilihat kembali sejarah lalu, pertelingkahan antara kaum Madura dan Melayu sambas pernah berlaku pada tahun 1933, ketika zaman kerajaan Sukadana atau Ketapang masih teguh memerintah di bumi Kalimantan.

Ketika itu, seorang nakhoda telah membawa masuk 25 orang hamba yang terdiri dari kaum Madura ke Sambas, lalu dijual pada seorang saudagar Melayu Sambas untuk dijadikan buruh bagi meneroka hutan untuk dijadikan ladang.

Namun, kerja berat yang melampau dan tidak diberi upah seperti yang dijanjikan telah menyebabkan golongan Madura ini mencetuskan ketegangan menentang saudagar Melayu Sambas itu sehingga pihak istana Sukadana terpaksa masuk campur untuk mendamaikan keadaan.

Rusuhan merebak dan berterusan setahun lamanya

Tragedi di pagi Syawal tahun 1999 itu tidak terhenti setakat itu saja. Ia merebak ke kampung-kampung lain dan mencetuskan banyak siri rusuhan selama setahun daripada Januari 1999 sehinggalah ke awal tahun 2000.

Masyarakat Melayu Sambas tampil untuk menuntut keadilan bagi nyawa pemuda mereka yang telah terkorban di tangan kaum Madura. Dikatakan suku Dayak turut membantu kaum Melayu Sambas dalam rusuhan ini. Maka tidak hairanlah jika ada berlaku perkara-perkara bersifat supernatural dalam pertempuran kedua-dua kaum ini kerana melibatkan senjata dan magis daripada masyarakat Dayak.

Angkatan bersenjata turut campur tangan bagi meredakan keadaan. Teruknya rusuhan yang berlaku sehingga kawasan ini diistiharkan dengan perintah berkurung.

Tragedi itu mencetuskan siri rusuhan sehingga setahun lamanya.

Tragedi ketupat berdarah ini mengakibatkan banyak kerugian, juga banyak nyawa yang terkorban. Hampir empat ribu rumah terbakar dan rosak, 12 buah kereta dan sembilan motosikal terbakar, lapan masjid dibakar dan dua sekolah rosak teruk. Seramai 1,189 nyawa terkorban dan ratusan lagi cedera.

Langkah pencegahan untuk mengawal rusuhan juga tidak begitu berjaya menyebabkan rusuhan berlaku sepanjang tahun. Pihak berkuasa telah menangkap lebih 200 orang, namun hanya 59 orang sahaja yang dibawa ke muka pengadilan.

Kemuncak kepada pengakhiran tragedi ini, semua kaum Madura di Sambas telah diusir keluar, tidak kira tua muda dan kanak-kanak, lelaki atau perempuan, bahkan yang tidak terlibat dalam rusuhan itu sekalipun semuanya dihalau keluar dari daerah tersebut.

Kaum Madura diusir keluar dari Sambas.

Seramai 29,423 penduduk kaum Madura di Sambas dihalau keluar ke Kotamadya Pontianak dan Kota Singkawang. Dikatakan sehingga ke hari ini, kaum Madura tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke Sambas, tambahan pula dengan masyarakat Melayu Sambas yang masih trauma dengan peristiwa berdarah itu.

Hari ini, di Kampung Parit Setia di Sambas, ada sebuah tugu yang dinamakan sebagai ‘Tugu Ketupat Berdarah’. Tugu ini didirikan bagi mengenang tiga pemuda Melayu Sambas yang terkorban di pagi Syawal tahun 1999 ketika mempertahankan kampung mereka dalam rusuhan tersebut.

Tugu ketupat berdarah yang dibina bagi memperingati tragedi di pagi Syawal .

Tugu itu berupa replika tiga tangan yang memegang ketupat berdarah, melambangkan tiga pemuda yang terbunuh akibat dirodok senjata Madura pada pagi Syawal itu. Tiga pemuda Melayu Sambas yang terkorban itu bernama Wasli Bikran, Ayub Tahir dan Mahli Azis.

Tugu tersebut kekal hingga sekarang untuk tatapan generasi baru bagi memperingati sejarah tragedi perkauman berdarah itu.

________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.