BARU-baru ini apabila polis meminta kerjasama orang ramai membuat aduan jika ada jiran melanggar prosedur operasi standard (SOP) ziarah Aidilfitri termasuk jamuan raya, ada yang sinis.

Macam-macam komen diberi berhubung saranan tersebut walhal SOP dibuat kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Hakikatnya, saranan polis itu tepat dan ada pun yang membuat aduan berhubung tindakan ‘jiran’ mengadakan jamuan raya sekali gus melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ini berlaku di Tanjung Malim petang semalam dengan pemeriksaan polis dilakukan hasil aduan orang ramai.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, pemeriksaan dilakukan pada jam 5.45 petang dan pekerja swasta berusia 31 tahun itu mengaku menganjurkan rumah terbuka.

Datuk Mior Faridalathrash Wahid

“Apabila polis tiba untuk memeriksa aduan itu, pemilik rumah mengaku dia menganjurkan rumah terbuka kepada rakannya.

“Jadi, kita keluarkan kompaun RM2,000 kepada pemilik rumah terbabit atas kesalahan menganjurkan rumah terbuka,” katanya seperti dilapor BH Online.

Mior Faridalathrash berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan (Jelapang) hari ini.

Baca artikel berkaitan: Suasana 1 Syawal di Pusat Kuarantin MAEPS

Maklum polis siapa balik kampung beraya tak ikut SOP

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai mematuhi SOP dengan tidak menganjurkan rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi ketika pandemik sedang memuncak berikutan kadar jangkitan di Perak ini tinggi.

“Kita bukan kejam sangat hendak membuat pemeriksaan rumah ke rumah, tetapi jika ada aduan kita terpaksa ambil tindakan kerana kadar jangkitan di Perak terlampau tinggi,” katanya.

Perak hari ini mencatatkan 182 penularan baharu COVID-19.

Di KAJANG semalam, sekumpulan warga asing disyaki menganjurkan jamuan makan di Sungai Sekamat susulan video merakamkan aktiviti mereka tular.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki itu ditahan selepas pihaknya mengesan dua video tular berhubung pelanggaran SOP PKP yang membabitkan sekumpulan warga asing.

“Lelaki berkenaan mengaku mengadakan majlis itu pada 13 Mei dan kita masih mengesan individu yang hadir ke majlis berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang atau pegawai penyiasat kes Inspektor Zazali Kenek di talian 019 2990062,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram