36 lagi kematian akibat COVID-19, 11 kluster baharu hari ini

0
814
Dr Noor Hisham Abdullah

SELEPAS merekodkan kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 44 kes akibat COVID-19 semalam, korban melibatkan virus berbahaya itu kekal tinggi.

Jumlah kematian yang dilaporkan berkaitan pandemik itu melibatkan seramai 36 lagi kematian hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, 35 kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan rakyat Malaysia manakala seorang bukan warganegara.

Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah kematian yang dilaporkan hari ini menjadikan kes kumulatif korban akibat COVID-19 adalah sebanyak 1,902 kes atau 0.4 peratus.

Jelas beliau, kematian tertua hari ini melibatkan seorang lelaki Sarawak berusia 93 tahun yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik dan dislipidemia.

Kematian termuda pula, kata Dr. Noor Hisham, melibatkan seorang pemuda lelaki berusia 29 tahun di Negeri Sembilan yang mempunyai latar belakang obesiti.

“Jumlah kes kematian hari ini melibatkan lapan di Selangor, enam di Pulau Pinang, masing-masing lima di Sarawak dan Kedah.

“Selain itu, empat kes dilaporkan di Kuala Lumpur, tiga di Perak, masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Terengganu serta satu di Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 3,780 penularan COVID-19, Kelantan dan Kedah lebih 300

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 11 kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan empat kluster institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia; tiga kluster komuniti’ dua kluster kerja dan dua kluster keagamaan.

Menurut Dr. Noor Hisham, empat kluster dikesan di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu di Kelantan, Sarawak, Perak, Melaka dan Sabah.

“Sebanyak 470 kluster dikenal pasti masih aktif manakala 1,417 telah tamat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 1,887.

“Sebanyak 520 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 272 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Berdasarkan kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 3,778 kes adalah kes tempatan dengan 3,441 merupakan warganegara dan 337 bukan warganegara manakala hanya dua kes import,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram