Betapa mulianya seorang guru. Inilah 7 kelebihan guru sebagaimana yang disebutkan Baginda s.a.w.

0
75
kelebihan menjadi seorang guru
Kredit: Yadim

Guru merupakan seorang insan mulia yang tinggi kedudukannya dalam kalangan masyarakat. Tugas guru bukan hanya sekadar mengajar, atau menyampaikan ilmu pengetahuan, malah lebih dari itu tugas mereka adalah mendidik seorang manusia untuk menjadi insan yang mulia sebagaimana tugas seorang nabi dan rasul.

Di dalam Hadis Nabi s.a.w. terdapat banyak dalil yang menceritakan tentang galakan menyampaikan ilmu serta kelebihan menjadi seorang guru, antaranya ialah,

Pertama: Ibu bapa pendidik utama

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. bersabda,

“Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang bertanggungjawab meyahudikan dia atau menasranikan dia atau memajusikannya.” – HR Muslim

Kedua: Lebih mulia dari ahli ibadah

Diriwayatkan oleh Abu Darda r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

Ibu bapa adalah pendidik utama setiap manusia

“Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang.” – HR Abu Daud

Ketiga: Pewaris para nabi

Diriwayatkan oleh Abu Darda r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi. Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” – HR Abu Daud

Keempat: Lebih tinggi dari ahli ibadah

Dari Abu Umamah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua.” – HR Tirmizi  

Kelima: Didoakan Allah dan seluruh makhluk di langit dan bumi

Semua makhluk di bumi dan langit mendoakan kebaikan seoran guru

Dari Abu Umamah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda

“Sesungguhnya Allah S.W.T., para malaikat dan seluruh penduduk di langit dan di bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti akan berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” – HR Tirmizi

Keenam: Jauh dari laknat Allah

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Baginda s.a.w.

Ketahuilah! Sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah dilaknat kecuali dengan berzikir kepada Allah S.W.T. dan apa yang terlibat dengannya, serta orang yang alim (tahu) atau orang yang belajar.” – HR Tirmizi

Ketujuh: Mendapat pahala orang yang mengamalkannya

Dari Muaz bin Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun.” – HR Ibnu Majah

Berdasarkan dalil hadis Nabi s.a.w. di atas, jelas bahawa Islam sangat memuliakan tugas seorang guru. Tidak kiralah samada dia seorang guru yang diiktiraf oleh pihak berkuasa atau tidak.

Selagimana seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan dan kemudian menyebarkannya untuk kebaikan seluruh manusia, maka dia adalah seorang guru yang tetap perlu dihormati dan mendapat ganjaran yang dijanjikan sebagaimana hadis di atas.  

Ingat! Tanpa jasa seorang guru maka tidak adalah seorang yang bergelar doktor, peguam atau sesiapa sahaja. Malah sesebuah tamadun juga tidak akan terbina tanpa seorang guru.

Terima kasih cikgu dan Selamat Hari Guru.

_______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram