Istimewanya jenazah seorang guru. Siapa sebenarnya Atuk Talib?

0
292

“Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun” itulah kata-kata yang mampu saya ucapkan sebaik mendapat panggilan seorang sahabat, mengatakan Atuk Talib meninggal dunia. Tanpa berlengah, selepas subuh pagi Ramadan tahun 1998 itu, saya terus bergegas ke rumah Atuk Talib yang terletak di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

Sambil memandu timbul perasan sedikit terkilan dalam hati saya. Sudah hampir tiga bulan saya tak menziarahinya. Entah mengapa, setiap kali berniat hendak melawat arwah, pasti ada saja urusan yang menyekat hajat saya itu. Sebelum ini hampir setiap minggu saya akan menziarahinya.

Ketika tiba di rumah arwah Atuk Talib, rumahnya sudah dipenuhi penduduk kampung. Ketika itu jenazah sedang dimandikan.  Disebabkan terlewat tiba, hajat saya untuk memandikan allahyarham juga tak kesampaian.

Lalu saya berjumpa dengan isteri allahyarham yang saya panggil nenek. Waktu itu, nenek sedang duduk di penjuru rumah. Saya hampiri nenek dan bertanya tentang kematian Atuk Talib.

Baru saya tahu Atuk Talib meninggal sewaktu tidur dalam keadaan mengereng ke kanan dan menghadap kiblat. Ketika isterinya mahu mengejutkan solat Subuh, baru nenek tahu suaminya telah meninggal dunia.

Kata nenek lagi, seminggu sebelum itu, dia sudah perasan perubahan sikap Atuk Talib itu. Bila waktu berbuka puasa, arwah makan tak banyak seperti sebelumnya. Arwah makan sikit saja sebagai alas perut. Arwah lebih banyak minum air. Arwah juga banyak berpesan supaya nenek jaga diri. Bagi saya sikap arwah yang tak banyak makan tadi mungkin dia nak bersihkan diri supaya bila meninggal, tak sukar nak uruskan jenazahnya. Arwah mungkin sudah tahu ajalnya sudah dekat.

Sedang bersembang itu, tiba-tiba kami dihampiri seorang lelaki. Wajahnya sedikit resah.

“Nenek… saya nak bagi tau ni, kami tak tahu arwah ni tinggi. Masa mandi tadi baru perasan. Masa letak arwah atas tempat mandi kami perasan kakinya terlebih. Maknanya arwah ni memang tinggi. Kain kapan pula kami dah potong awal-awal ikut ukuran biasa. Kalau ikut ukuran tadi, kami rasa kain kapan ni memang tak cukup untuk arwah. Pendek. Macam kena beli baru,” beritahu lelaki tadi panjang lebar tentang masalah dihadapinya.

Mendengar masalah tadi nenek terus berkata, “ Tak apa lah…. apa yang ada pakailah,” jawab nenek bersahaja.

Lelaki tadi terus diam dan berlalu pergi. Saya pula hanya mendengar saja masalah mereka. Memang saya akui, semua orang termasuk saya sendiri sukar mengagak ketinggian arwah.

Disebabkan usianya yang sudah lanjut, ketika berdiri atau berjalan, badan arwah bongkok. Bongkoknya pula macam orang rukuk. Jadi disebabkan itu saya sendiri tak dapat mengagak ketinggian arwah.

Oleh kerana tiada pilihan, kain kapan tadi terpaksa digunakan juga. Selesai jenazah dimandikan, urusan kapan dimulakan. Sebaik kain kapan diletakkan pada badan jenazah, mereka terkejut. Kain kapan yang didakwa pendek, cukup-cukup saja untuk kapankan arwah. Kain itu tak kurang dan tak terlebih. Lelaki yang mengadu masalah tadi juga berasa hairan.

“Pelik, kalau tengok tadi memang tak cukup. Tapi ni cukup-cukup pula,” terdengar salah seorang daripada mereka berkata begitu.

Selepas arwah selamat dikapan dan disembahyangkan di rumahnya, jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Saya yang sampai awal sedikit terus meninjau-ninjau kubur arwah.

Sebaik memandang lubang kubur. Kali ini saya nampak kubur arwah berlainan benar dari kubur-kubur yang pernah saya lihat. Kubur arwah cantik. Dinding kubur ditarah begitu licin, kemas hingga berkilat. Licinnya dinding kubur tersebut macam mereka gunakan marmar.

Tiba-tiba sekali lagi saya dengar suara kecoh ketika jenazah arwah tiba. Bila dengar betul-betul, rupanya penggali kubur sedang membebel pada lelaki yang memandikan jenazah tadi.

“Kenapa tak beritahu awal-awal jenazah ni tinggi. Kita gali liang biasa saja. Kalau tengok jenazah ni memang tak muat nak masukkan. Liang pendek,” bebel penggali kubur tersebut.

“Nenek… kita tak boleh bawa turun lagi. Kena panjangkan liang dulu,” beritahu salah seorang lagi penggali kubur pada isteri arwah yang sedang berdiri di sisi keranda.

Mendengarnya nenek geleng-geleng kepala. “ Yang mana ada sajalah. Tak perlu gali lagi,” kata nenek dan minta penggali kubur turunkan saja jenazah suaminya.

Mereka semua akur. Jenazah arwah diangkat dan diturunkan perlahan-lahan. Sebaik jenazah dibawa masuk ke dalam lubang kubur, semua terkejut. Jenazah arwah muat-muat saja dengan liang lahad. Ukuran panjang liang lahad sama panjang dengan jenazah. Tak terlebih dan tak kurang.

Kalau ikut logik akal, memang tak muat. Sebabnya sebelum diturunkan, semua orang perasan yang panjang jenazah dengan panjang liang lahad tak sama. Liang lahad lebih pendek. Kalau dimasukkan juga mesti tersangkut. Tapi dengan kuasa Allah, jenazah boleh dimasukkan dan semuanya jadi luar biasa. Alhamdulillah selepas diperlihatkan beberapa perkara aneh tersebut, arwah selamat dikebumikan dengan sempurna.

Siapa Sebenarnya Atuk Talib?

Sebenarnya Atuk Talib ini ialah guru saya dan saya ini anak muridnya. Saya jadi anak muridnya baru tiga tahun selepas diperkenalkan seorang rakan. Mulanya rakan saya itu mahu berguru dengan Atuk Talib. Tapi disebabkan tiada kesabaran, dia gagal.

Walaupun saya anak muridnya, tapi saya tak tahu sangat latar belakang arwah. Nama penuhnya pun saya tak tahu sebab arwah jarang bercerita. Apa yang saya tahu, usianya lebih 100 tahun. Arwah pernah bercerita, katanya ketika residen pertama tanah Melayu iaitu J.W.W Birch dibunuh, dia sudah ada dan masih kanak-kanak.

Kalau ikutkan perkiraan, J.W.W Birch dibunuh pada tahun 1875. Atuk Talib pula meninggal pada tahun 1998. Ini bermakna usianya ketika itu lebih 123 tahun.

Selain cerita daripada arwah, persoalan usia sebenarnya dikukuhkan lagi bila saya berjumpa dengan seorang lelaki tua di tanah perkuburan. Masa itu, lelaki tua tersebut sedang duduk termenung di bawah sebatang pokok. Selepas bertegur sapa, saya tanyalah apa kena mengena orang tua itu dengan arwah?

“Aku ni cucu arwah,” jawab lelaki tua tadi.

Mendengarnya saya terkejut. Serta-merta saya tanya umur lelaki tua tadi. Dia menjawab, usianya 73 tahun. Memang saya terperanjat. Saya fikir, kalau cucunya saja sudah berumur 73 tahun, berapa pula umur arwah? Jadi benarlah umur arwah sudah lebih 100 tahun.

Setahu saya juga, nenek bukanlah isteri pertama arwah tetapi isteri keenam. Mereka berkahwin baru lima tahun setelah kelima-lima isteri arwah meninggal dunia terlebih dahulu.

Selain memiliki umur yang panjang, arwah juga seorang yang luar biasa dan tinggi ilmu agamanya. Bukan niat untuk memuji guru sendiri tapi inilah kejadian yang saya saksikan.

Saya masih ingat, suatu hari saya ke rumahnya. Sedang kami berbual perihal agama, tiba-tiba seekor burung merbah terbang laju masuk ke dalam rumah dan terus langgar dinding papan.

Dummm!!! Burung tadi terus jatuh ke atas lantai. Bila saya periksa burung tadi tak bergerak. Kepalanya terkulai lembik macam ayam mati kena sembelih.

“Atuk burung ni dah mati,” kata saya sambil bawa burung tadi pada arwah.

“Ajal maut semuanya di tangan Tuhan,” jawab Atuk Talib. Kemudian dia minta burung merbah yang saya pegang tadi. Arwah terus belek-belek burung itu. Badan burung itu disuap-usapnya.

“Kita berdoa saja. Kalau ada nyawa lagi, dengan izin Allah hiduplah dia,” kata Atuk Talib sambil mulutnya membaca sesuatu.

Saya pula hanya memerhati penuh minat. Selepas dia membaca sesuatu, saya tengok arwah singkap ekor burung tersebut dan meniup di bahagian punggung. Selepas dia buat begitu dan letak atas lantai, burung merbah tadi serta-merta bergerak dan terus terbang. Saya yang tengok terus terpegun. Macam silap mata. Burung yang sudah terkulai layu tidak bergerak itu tiba-tiba sudah terbang semula.

Ada lagi satu kejadian pelik. Tapi kejadian ini bukan saya saksikan, ia diceritakan oleh nenek. Sebab arwah jarang bercerita, jadi banyaklah yang saya korek dari nenek.

Cerita nenek, suatu hari ada seorang lelaki datang jumpa atuk. Lelaki itu mengadu tentang masalah kewangan dan minta arwah tolong. Lelaki itu memang terdesak nak guna duit. Jadi dia minta arwah berdoa agar dia dapat jalan untuk dapat duit segera.

Tak lama selepas itu, nenek tengok arwah suruh lelaki tadi ambil jubah putih yang tergantung di belakang pintu. Bila lelaki tadi ambil, arwah suruh lelaki itu seluk dalam poket jubah.

Bila lelaki itu bawa keluar, nenek sendiri terkejut. Dalam poket jubah itu ada sejumlah duit. Bila dikira jumlahnya, cukup-cukup untuk keperluan lelaki tadi. Jumlahnya tiga ribu ringgit.

“Atuk memang simpan duit dalam jubah ke?” soal saya yang mula tertarik mendengar cerita nenek itu.

“Nenek pun tak tahu atuk simpan duit kat mana. Yang nenek tahu atuk engkau tu bukannya berduit. Tapi hari itu macam mana boleh ada pun aku tak tahu,” cerita nenek serius.

Lebih menghairankan nenek, setiap hari selepas solat, neneklah yang sangkut jubah itu di belakang pintu termasuk hari tersebut. Tapi masa pegang, nenek kata, dia tak pula rasa berat macam ada duit atau sesuatu.

Cerita nenek lagi, kejadian pelik begini bukanlah kali pertama dia saksikan. Banyak lagi. Tapi bila saya minta nenek ceritakan, nenek hanya geleng kepala. Nenek tak mahu bercerita.

Jadi bila saya lihat kejadian-kejadian pelik ketika kematian arwah dan semasa hidupnya, yakinlah saya Atuk Talib bukan orang sembarangan. Arwah seorang yang hebat dari segi ilmu agama. Ilmu agamanya tinggi. Jadi tak mustahil, perkara aneh yang saya ceritakan tadi boleh berlaku.

**Kisah di atas diceritakan oleh Dr. Jamaluddin A. Jalal.

_______

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.