Malaysia, Indonesia, Brunei gesa adakan sidang tergempar PBB

0
332
bom
ISRAEL turut mengebom pejabat media antarabangsa termasuk AP di Gaza. - Gambar AP

MALAYSIA, Indonesia dan Brunei menggesa supaya satu sidang tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan berhubung pencerobohan dan keganasan dilakukan rejim zionis terhadap Palestin.

Dalam kenyataan bersama, pemimpin ketiga-tiga negara iaitu Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut menggesa sebuah resolusi keamanan dicapai bagi menghentikan kekejaman kepada rakyat Palestin.

Pemimpin ketiga-tiga negara turut mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera dan mengambil semua langkah untuk menjamin keselamatan serta melindungi rakyat Palestin sejajar dengan tanggungjawab khasnya bagi menuntut pemberhentian semua keganasan dan memenuhi kewajipannya menegakkan keamanan antarabangsa.

Pada masa sama, Malaysia, Indonesia dan Brunei turut menuntut pihak berkepentingan melaksanakan gencatan senjata dan menerima kehadiran pemantau antarabangsa di Baitul Maqdis bagi memastikan perkara itu dipatuhi.

“Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus menyatakan komitmen bagi penyelesaian dua negara ke arah mencapai sebuah negara Palestin yang merdeka, berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

Baca artikel berkaitan: Perbuatan rejim zionis keji dan zalim – Agong

“Kami turut mengulangi solidariti dan komitmen kepada rakyat Palestin termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri serta membentuk negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” kata ketiga-tiga pemimpin dalam kenyataan berkenaan.

Muhyiddin, Jokowi dan Sultan Hassanal Bolkiah turut bersedia menyokong usaha antarabangsa yang bertujuan mencapai keamanan yang komprehensif, adil dan berkekalan di Asia Barat berdasarkan Resolusi PBB yang relevan serta undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan.

Ketiga-tiga pemimpin turut mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan dan keganasan yang dilakukan Israel yang menyasarkan orang awam di seluruh wilayah Palestin terutama di Baitul Maqdis Timur dan Semenanjung Gaza yang telah dibunuh, tercedera dan menyebabkan penderitaan.

Menurut kenyataan itu lagi, ketiga-tiga negara turut menyuarakan keprihatinan terhadap peningkatan penempatan haram, kemusnahan dan penyitaan bangunan milik Palestin di seluruh Tebing Barat.

“Kami juga mengutuk pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia yang dilakukan Israel sebagai tidak berperikemanusiaan, bersifat penjajah dan ibarat pemerintahan aparteid.

“Oleh itu, pentingnya tindakan segera dan kolektif dilakukan bagi memastikan tindakan sewajarnya terhadap pelaku,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram