NOSTALGIA kena lempang dengan cikgu!

0
56

GURU saya yang bernama Too Lee Eng itu memang bernasib baik. Kalau hukuman yang dikenakan kepada kami dahulu, dilakukannya sekarang, pasti Cikgu Too Lee Eng itu sudah disaman RM10 juta. Paling tidak pun, dia akan dihamun oleh ibu bapa, atau diberi teguran keras oleh Jabatan Pendidikan, atau diarah bertukar 24 jam ke sekolah nun di hujung peta Sabah.

Tetapi Cikgu Too Lee Eng ‘bertuah’ kerana dia melakukan hukuman itu 40 tahun lalu, ketika saya dalam darjah empat. Hukuman yang dikenakan kepada kawan-kawan saya yang membuat bising, tidak membuat kerja sekolah atau tidak membawa buku, ialah dihantuk dahi ke bucu pintu yang tajam itu. Benjol-benjol kepala kawan-kawan saya. Salah seorangnya kawan saya, Md. Saat Jabar.

Ada kalanya Cikgu Too Lee Eng hukum mereka makan kapur. Atau, berdiri separuh dengan kedua-dua tangan lurus ke hadapan, seperti orang menunggang scrambler. Ada kawan saya yang tergolek ke lantai sebab terlalu lenguh pelipat lututnya. Kawan saya itu kemudiannya menangis.

Waaaaa… Waaaa….

Berbagai-bagai hukuman dilakukan oleh Cikgu Too Lee Eng, tetapi saya yakin 100 peratus, guru mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris saya itu tidak pernah disaman, ditahan polis atau diserang oleh ibu bapa kami. Isu perkauman pun tidak timbul.

Gambar hiasan: Cikgu Too Lee Eng sangat tegas. Dia mahu para pelajarnya betul-betul fokus semasa di dalam kelas.

Cikgu Muain juga bernasib baik kerana tidak pernah disaman atau diserang oleh ibu bapa, mahupun dikenakan tindakan disiplin kerana selalu melempang pelajar yang malas dan membuat bising. Dia adalah cikgu yang paling kami takuti. Nampak saja mukanya badan terus menggigil.

Saya masih ingat, tengah hari sebelum kami masuk ke kelas, seorang kawan saya yang berbadan besar telah membuat bising di kaki lima sekolah. Cikgu Muain yang berbadan gemuk dan sedang mengajar pelajar darjah enam, rasa terganggu. Lama-kelamaan menjadi marah. Dia keluar dari kelas dan terus menengking.

“Heii! Apa yang kamu bising ni? Tak nampak ke saya tengah mengajar ni?!!!”

Kawan saya itu terkejut, dia terus meraung hingga terkencing di dalam seluar!

Gambar hiasan : Sekali Cikgu Muain tengking, kawan saya itu terus terkencing dalam seluar.

Saya pernah kena lempang dengan Cikgu Sahak kerana gagal menyiapkan kerja Matematik semasa dalam darjah lima. Saya pernah didenda berdiri di atas kerusi, berdiri semasa perhimpunan dan kena marah. Tetapi saya tidak pernah memberitahu bapa saya sebab saya tahu, kalau saya beritahu, maka saya akan dilempang lagi.

Semasa di sekolah menengah, ada seorang guru kami bernama Cikgu Onn yang mengajar Matematik. Guru berbadan gempal ini sangat ditakuti kerana selalu melempang pelajar. Suatu hari, seorang kawan kami yang kami gelarkan Jalut, tertinggal buku Matematiknya. Apa yang berlaku selanjutnya ialah…

“Mari sini, saya nak kasi awak kompang Melayu!” kata Cikgu Onn, lalu Pang! Pang! Pang! Dia melempang muka Jalut kiri dan kanan, berlepak lepuk lima enam kali.

Jalut tahan. Dia tidak menangis. “Oo… tahan ya, kuat ya, mari saya kasi kompang Jawa pulak!” Pang! Pang! Pang! Pang! Pang! PPAAANNGGG!!! Pipi Jalut merah. Telinga pun merah juga. Tapi Jalut masih tidak menangis. Dia masih boleh bertahan walaupun mukanya sudah sebik.

“Oo… tahan ya, kuat ya… nah saya kasi kamu kompang Keli*g pulak!” lalu Cikgu Onn pun menghayunkan tapak tangannya dan… PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PANG! PAAANNNGGGG!! PPPAAANNNGGG!!!

Waaaaaaaa…!!!! Jalut terus meraung sambil menekup kedua-dua belah pipinya. Dahsyat betul pelempang Keli*g itu, Jalut tidak boleh tahan. Matanya berpinar nampak planet, pipinya pedih dan panas bagaikan dicucuh api. Waaaaaaa… panjang sungguh tangisan Jalut hari itu sampai kawan-kawan pun berasa gerun. Tiada siapa berani bersuara, bimbang mereka pula kena pelempang Keli*g.

Bukan saja Jalut, ramai lagi pelajar yang telah dikompang-kompang oleh Cikgu Onn. Di sekolah kami tahun dahulu, semua pelajar takutkan Cikgu Onn. Maka, akibat takut, tiada siapa yang berani meninggalkan buku latihan atau teks, atau tidak menyiapkan kerja sekolah.

Ketika belajar, kami akan sentiasa fokus kerana ada kalanya Cikgu Onn akan menyoal secara tiba-tiba. Kalau tidak dapat jawab, jadilah macam Jalut.

Tetapi kejadian itu berlaku lama dulu, ketika semua kita, baik murid mahupun ibu bapa begitu hormat kepada guru. Biar macam mana teruk dan kasar pun hukuman yang dikenakan, tidak pernah ibu bapa datang menyerang guru. Apatah lagi hendak menyaman guru.

Puluh-puluh tahun yang lalu, kami akan pengsan tiga kali kalau dengar kejadian murid memukul guru, atau memperkosa guru sendiri. Ketika itu juga, kami akan menjadi pelik kalau ada ibu bapa yang menyerang guru mahupun mengetuk kepala guru yang marahkan anaknya.

Dahulu, walau segarang mana pun guru itu, dia sangat dihormati. 

Kami tahu, kami dihukum kerana kami membuat salah. Ibu bapa tidak menyerang guru kerana mereka telah memberikan sepenuh hak dan tanggung jawab mendidik anak-anak mereka itu kepada guru. Tamparlah. Rotanlah. Marahlah. Mereka tahu, itu hak guru kepada anak mereka yang melakukan kesalahan.

Bayangkan kalau apa yang dilakukan oleh Cikgu Too Lee Eng, Cikgu Muain, Cikgu Sahak dan Cikgu Onn itu dilakukan sekarang? Apa yang terjadi kepada mereka agaknya?

Terima kasih, cikgu. Dari Cikgu Too Lee Eng, saya belajar supaya sentiasa fokus kepada pelajaran. Dari Cikgu Sahak, saya belajar supaya jangan abaikan kerja sekolah. Begitu juga dengan Cikgu Onn, serta cikgu-cikgu lain, yang saya belajar dari mereka tentang pentingnya ilmu, perlunya taat kepada ibu bapa dan mustahaknya kita mempunyai cita-cita.

Sebenarnya, guru menjadi garang kerana mereka sayangkan kita. Hanya kita yang belum mengerti.

————————

SEBAHAGIAN daripada guru-guru saya tadi sudah meninggal dunia. Dengan tulus ikhlas, saya mendoakan mereka berbahagia di sana bersama para mukminin dan solehin.

Dunia pendidikan negara kini sudah jauh berubah. Cara mendisiplin dan membentuk sahsiah pelajar pun turut berubah. Respons ibu bapa juga tidak lagi sama, seiring dengan perubahan sekeliling.

Justeru, cerita yang anda baca tadi hanyalah nostalgia untuk dijadikan kenangan oleh generasi zaman tersebut, tetapi tentu sekali tidak akan diterima pada zaman kini.

Pada hari yang istimewa ini, kami di Mastika dan UtusanTV mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di negara ini. Semoga jasa cikgu-cikgu semua dibalas Tuhan dengan sebesar-besar ganjaran kebaikan.

Oleh: ZULKARNAIN ZAKARIA, majalah Mastika