Resipi kek lapis pisang

0
708

Kek lapis adalah antara jenis kek yang digemari ramai. Terdapat pelbagai pilihan dari segi rasa, corak dan perisa. Kali ini SAJI ingin kongsikan resipi kek lapis pisang yang enak dan pasti digemari. Jom cuba!

BAHAN
250gm mentega
3 sudu besar susu pekat
100gm gula kastor
15gm ovalette
8 biji kuning telur
4 biji putih telur
120gm tepung gandum
2 sudu teh perisa pandan
Sedikit pewarna hijau
4 biji pisang – dilenyek
4 biji pisang – dipotong kecil

CARA:
1.Pukul mentega dan susu pekat sehingga kembang dan berkrim.
2.Dalam bekas lain, satukan gula kastor, ovalette, kuning telur dan putih telur dan pukul selama 10 minit dengan kelajuan tinggi sehingga pekat dan gebu.
3.Masukkan tepung gandum dan gaul sebati. Kemudian masukkan adunan mentega dan gaul lagi sehingga bercampur rata.
4.Bahagikan adunan kepada dua. Bahagian pertama diwarnakan hijau dan ditambah perisa pandan. Bahagian kedua pula masukkan pisang yang telah dilenyek dan gaul sebati.
5.Ambil dua senduk adunan hijau dan ratakan di dalam acuan 7”x7” yang telah dialas baking paper yang disapu dengan mentega. Bakar dengan api atas dan bawah di dalam ketuhar dengan suhu 180°C selama tujuh minit.
6.Apabila permukaan kek berwarna perang, cucuk dengan garfu dan tekankan supaya rata. Seterusnya buat satu lagi lapisan berwarna hijau dan bakar seperti lapisan pertama.
7.Ambil dua senduk adunan yang digaul dengan pisang dan bakar sehingga masak. Buat beberapa lapisan diselang-selikan dengan pisang yang dipotong kecil sehingga adunan habis.
8.Buat dua lagi lapisan berwarna hijau. Setelah semuanya telah masak, tutup tin pembakar dengan kertas aluminum dan bakar semula selama 15 minit.