Tiada gambar sambutan Aidilfitri, Faizal Tahir fikirkan nasib rakyat Palestin

0
867

KETIKA ramai selebriti berkongsi gambar kemeriahan Syawal di media sosial, namun berlainan pula buat penyanyi Faizal Tahir yang memilih untuk tidak memuat naik sebarang aktiviti perayaan.

Menurut Faizal, ketika ini dia lebih memikirkan nasib rakyat Palestin yang sedang menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis.

“Ada yang bertanya mana gambar saya menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.

“Saya lebih mengambil berat tentang apa yang sedang berlaku kepada rakyat Palestin daripada memuat naik gambar sambutan Aidilfitri di Instagram.

“Buat masa ini, ia kurang penting (berkongsi gambar sambutan Hari Raya) di media sosial,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, penyanyi berusia 42 tahun itu tidak menganggap tindakan berkongsi gambar kegembiraan menyambut Lebaran adalah satu kesalahan.

“Saya tidak kata ia menjadi kesalahan untuk anda berbuat demikian (muat naik gambar).

“Ia perkara yang baik terutama apabila ia dapat memberi kebahagiaan kepada diri sendiri dan orang lain.

“Cuma, pada masa ini ada benda yang lebih perlu untuk saya berikan perhatian.

“Mungkin apabila sudah ada masa yang sesuai, saya akan berkongsi,” katanya.

Tindakan Faizal itu turut mendapat pujian pengikutnya dan ada juga selebriti tanah air yang turut sependapat dengannya untuk tidak memuat naik gambar sambutan Lebaran pada kali ini.

Mereka antaranya, Sara Ali, Irma Hasmie dan Hannah Delisha.