[VIDEO] Lemang, dodol tetap disediakan walaupun Aidilfitri PKP

0
50

PADA tahun ini, rakyat negara sekali lagi terpaksa akur dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan perjalanan merentas negeri atau daerah bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Malah aktiviti ziarah sesama ahli keluarga juga tidak dibenarkan sama sekali dalam usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 yang kini mencatatkan lebih 4,000 kes sehari sejak kebelakangan ini.

Namun, ia langsung tidak menghalang sebuah keluarga di Taman Desa Melor, Serendah menyediakan hidangan dodol dan lemang yang merupakan tradisi setiap kali Aidilfitri tiba.

Biarpun PKP, penyediaaan juadah berkenaan tetap disediakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak kerajaan.

Menurut Affique Sunarsa, 30, disebabkan PKP dia dan ahli keluarganya mengambil keputusan untuk membuat lemang di rumah mereka sendiri.

“Raya tahun ini mungkin agak berbeza sedikit kerana sudah dua tahun tidak pulang ke kampung yang disebabkan PKP dan SOP yang perlu dipatuhi”, ujarnya.

Affique berkata dia berasa lebih puas hati dapat memasak lemangnya sendiri pada raya tahun ini selain lemang dijamin sedap serta dapat memeriahkan lagi suasana raya itu sendiri.

“Bagi saya, saya lebih memilih untuk memasak sendiri daripada membelinya. Bergantung juga kepada citarasa sendiri”, katanya ketika ditemui UtusanTV.

Menariknya segala persiapan dan penyediaan membuat lemang dan dodol seperti pencarian buluh, daun pisang, kacau dodol hanya dibuat bersama ahli keluarga di kediaman mereka sahaja.


Hari ini COVID-19 merekodkan sebanyak 3,780 kes baharu dengan Selangor menjadi negeri tertinggi apabila mencatatkan 1,275 jangkitan positif.

Sebanyak 36 kes kematian turut direkodkan menyaksikan jumlah keseluruh mereka yang maut akibat COVID-19 meningkat kepada 1,902 orang.

Turut berkongsi pengalaman memasak dodol, Norfadilah Ibrahim, 46, seorang suri rumah yang telah mengambil keputusan untuk membuat sendiri bersama anak-anak berbanding hanya membelinya di kedai.

Menurut Norfadilah, dodol merupakan menu yang wajib ada ketika hari raya dan setiap kali raya beliau akan pulang ke rumah kakaknya di Pahang untuk menyediakan juadah itu, tetapi disebabkan PKP rutin raya tersebut terbantut.

Walaupun proses penyediaan dodol agak rumit tetapi dia bersama anak-anaknya tetap bersemangat untuk membuat menu tradisi itu sendiri pada raya tahun ini.

“Saya buat dodol ini memang semata-mata untuk makan bersama anak-anak,” katanya dan menambah segala persediaan dan proses penghasilan dodol yang mengambil masa sehingga lima jam untuk disiapkan.