28 lagi mukim di Kedah, dua lokaliti di Kelantan kena PKPD

0
3328

SELEPAS sembilan lokaliti di Jitra, Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semalam, hari ini 28 lagi mukim dalam daerah Kota Setar pula diletakkan di bawah PKPD mulai 19 Mei hingga 1 Jun depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 975 kes aktif COVID-19 telah dikesan di seluruh daerah Kota Setar sehingga semalam.

Menurut Ismail Sabri, enam mukim direkodkan sebagai zon merah iaitu mukim Kota Setar (78 kes), mukim Mergong (223 kes), mukim Pengkalan Kundor (143 kes), mukim Derga (138 kes), mukim Kangkong (55 kes) dan mukim Anak Bukit (61 kes).

Selain itu, kata Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan penularan jangkitan COVID-19 telah tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja bermula 8 hingga 16 Mei dengan 799 kes positif dikesan.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadikan sebanyak hampir 100 kes sehari direkodkan secara purata di Kota Setar melibatkan beberapa kluster sedia ada dan kluster terbaharu iaitu Kluster Dah Putih.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 28 mukim di Kota Setar berkuat kuasa 19 Mei sehingga 1 Jun 2021.

Baca artikel berkaitan: PKPD 9 lokaliti di Kedah, satu di Pahang hingga 31 Mei

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah ini serta menyekat penularan jangkitan kes COVID-19 daripada kawasan berisiko ke kawasan lain.

“Maklumat lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) penuh bagi PKPD ini boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua lokaliti dalam dua jajahan di Kelantan selama dua minggu.

Katanya, dua lokaliti yang terbabit dalam PKPD terbaharu itu adalah di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu.

Menurut Ismail Sabri, KKM telah melaksanakan 227 ujian saringan di kedua-dua lokaliti setakat ini dan mendapati 74 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti seperti dinyatakan berkuat kuasa 19 Mei sehingga 1 Jun 2021,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram