45 kematian dicatat hari ini, korban tertinggi COVID-19

0
220

PENULARAN pandemik COVID-19 semakin hari makin membimbangkan lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan.

Hari ini, jumlah kematian akibat COVID-19 mencecah tahap tertinggi pernah direkodkan setakat ini iaitu melibatkan 45 nyawa.

Sebagai rekod, kes kematian tertinggi dicatatkan negara adalah pada Sabtu lalu iaitu sebanyak 44 kematian dikesan berkaitan wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, kes kematian hari ini melibatkan 44 warganegara manakala satu lagi bukan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, jumlah kematian yang dilaporkan hari ini menjadikan kes kumulatif korban akibat COVID-19 adalah sebanyak 1,947 atau 0.41 peratus.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes kematian tertua hari ini adalah sebanyak tiga kes melibatkan wanita berusia 90 tahun dengan dua daripadanya di Selangor dan seorang lagi di Melaka.

Katanya, ketiga-tiga kes tersebut mempunyai latar belakang pelbagai penyakit.

Baca artikel berkaitan: 36 lagi kematian akibat COVID-19, 11 kluster baharu hari ini

Kes kematian termuda pula, kata Dr. Noor Hisham adalah melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun di Johor yang mempunyai latar belakang obesiti.

“45 kematian akibat COVID-19 hari ini melibatkan 20 kes di Selangor, masing-masing empat kes di Kuala Lumpur dan Kelantan serta tiga kes di Kedah, Perak dan Johor.

“Selain itu, dua kes dilaporkan di Negeri Sembilan dan Melaka manakala satu kes kematian di Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 14 lagi kluster baharu dikesan hari ini melibatkan tujuh kluster komuniti, empat kluster keagamaan dan tiga kluster tempat kerja.

Kata beliau, tiga kluster dikesan di Kelantan dan Selangor; dua di Pahang dan Sabah serta masing-masing satu di Sarawak, Johor, Perak dan Kuala Lumpur serta Kedah.

“Sebanyak 484 kluster dikenal pasti masih aktif manakala 1,417 telah tamat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah sebanyak 1,901.

“Sebanyak 522 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 273 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Berdasarkan kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 4,443 kes adalah kes tempatan dengan 4,230 merupakan warganegara dan 213 bukan warganegara manakala hanya tiga kes import,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram