Jeneral Tan Sri Affendi Buang. GAMBAR: FB Angkatan Tentera Malaysia

ARAHAN pemantauan mengenai aspek keselamatan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tular sebelum ini disifatkan sebagai amalan biasa kepada aspek peringatan, tindakan dan langkah-langkah sewajarnya perlu dilaksanakan pentadbir sistem siber.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, arahan yang dikeluarkan itu juga sebagai langkah menangani apa juga kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir luar.

Katanya, ia sekali gus boleh mengganggu pengoperasian sistem siber serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ATM serta Kementerian Pertahanan.

Affendi bagaimanapun memaklumkan, aspek keselamatan dan pertahanan siber ATM sentiasa dipantau setiap masa bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat ditangani sewajarnya.

“Ini berlanjutan tular arahan dan langkah sewajarnya yang perlu diambil oleh pentadbir siber/ICT ATM dan Kementerian Pertahanan yang dikeluarkan oleh Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC).

Baca artikel berkaitan: ATM iringi pergerakan kenderaan membawa vaksin esok

“Ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta CDOC.

“Ia bukan sahaja memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini CDOC ATM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di peringkat dalaman telah mengeluarkan amaran menyatakan infrastruktur siber perkhidmatan itu menjadi sasaran Israel sebagai serangan balas beberapa kumpulan penggodam di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, terdapat peningkatan aktiviti serangan balas terhadap infrastruktur siber ATM rentetan pelancaran penggodaman menerusi #OpsBedil dan #OpsIsrael.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram