Oleh SALADIN HASAN SALLEH

DALAM satu wawancara bersama Presiden sempena ulang tahun ke-75 UMNO baru-baru ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membayangkan pembentukan satu jajaran baharu politik dikenali sebagai Perikatan 3.0.

Dengan mengambil kira kedinamikan politik semasa, Ahmad Zahid berkata jajaran baharu itu hampir pasti berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun beliau langsung tidak menyebut nama parti yang akan bersama dalam Perikatan 3.0 dan sebaliknya menyatakan Perikatan Nasional (PN) tidak terlibat.

Bersandarkan keyakinan Ahmad Zahid terhadap potensi Perikatan 3.0, pastinya mudah untuk kita meneka keanggotaannya yang sudah tentu melibatkan parti-parti dominan di luar PN yang mampu menyumbang banyak kerusi Parlimen.

Ciri-ciri itu ada pada musuh tradisi UMNO sendiri iaitu DAP dan PKR. Dua parti ini adalah calon terbaik untuk bersama UMNO tetapi Ahmad Zahid pastinya sedia maklum dengan sentimen akar umbi.

Ini kerana sejak sekian lama, UMNO dan DAP diibaratkan seperti ‘air dan minyak yang tidak akan bersatu’. Penentangan terhadap DAP, malah PKR sudah menjadi darah daging dan DNA ahli akar umbi hasil tarbiah ratiban ‘No Anwar, No DAP’ yang kini menjadi pendirian rasmi Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Jadi tidak peliklah apabila Ahmad Zahid membayangkan Perikatan 3.0 hanya akan diwujudkan selepas PRU-15. Dengan kata lain, UMNO perlu diletakkan dalam keadaan terpaksa menjalinkan kerjasama waima bersama musuh tradisi dengan menggunakan alasan demi kepentingan negara.

Ini bertepatan dengan ramalan pemerhati politik bahawa tiada parti tunggal yang akan mendominasi keputusan PRU-15 dan setiap dari mereka perlu bekerjasama untuk membentuk kerajaan.

Dalam wawancara yang sama, Ahmad Zahid cuba merasionalkan pembentukan Perikatan 3.0 apabila mengaitkannya dengan langkah Tun Abdul Razak Hussein yang berunding dengan parti pembangkang demi kepentingan negara sehingga terbentuknya Barisan Nasional (BN).

Jika beberapa petunjuk politik dicerap dengan cermat, kita dapat melihat bagaimana usaha untuk menormalisasikan hubungan UMNO dengan DAP dan PKR telah lama digerakkan. Mungkin juga untuk menyukat tahap penerimaan ahli.

Namun setiap kali ada suara yang menentang dari dalam parti, kepimpinan tertentu akan membuat penafian demi penafian walaupun ia ibarat cubaan ‘menutup bangkai gajah dengan nyiru’.

Terbaharu ialah penularan tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp MT berhubung arahan Ahmad Zahid supaya pimpinan parti menjemput wakil DAP dalam setiap program yang dianjurkan. Ia dikatakan untuk melatih ahli parti menerima DAP.

Perkara ini telah dinafikan sebagai fitnah jahat. Tetapi jangan kita lupa, dalam politik Malaysia sudah acap kali kita menyaksikan penafian atau ungkapan ‘ia cuma kebetulan’ akhirnya menjadi perkara yang benar-benar berlaku. Lagi-lagi kalau melibatkan kes yang tidak disusuli laporan polis.

Episod penfian atau ‘ia cuma kebetulan’ turut melatari beberapa perkembangan melibatkan UMNO dengan PKR. Hingga ke satu peringkat kedua-dua parti ini pernah mengeluarkan kenyataan media yang terang-terangan sama di beberapa bahagian. Ia di’copy and paste’ sahaja.

Sebelum itu, tersebar surat sokongan dan ikrar setia Presiden UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disembah kepada Yang di-Pertuan Agong. Ia juga nafikan walaupun ada pihak lawan yang tahu kesahihannya.

Begitu juga dengan kebocoran rakaman suara Ahmad Zahid dan Anwar yang berbincang strategi politik. Kelam kabut Ahmad Zahid menafikannya tetapi Anwar lebih tenang menjawab dengan berkata: “Kalau betul.. kalau betul.. apa masalahnya?”.

Penulis bersetuju dengan Anwar, tiada salahnya untuk mana-mana parti membuat penjajaran semula politik. Cuma yang menjadi persoalan ialah bersediakah akar umbi UMNO untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Ahli akar umbi wajar membuat penilaian adakah penjajaran politik itu untuk kepentingan parti atau kepentingan peribadi? Kita semua sedia maklum Ahmad Zahid adalah Presiden UMNO yang ada masalah. Beliau bergelut dengan puluhan pertuduhan di mahkamah.

Kita juga sentiasa mendengar ungkapan ‘orang lemas, najis yang terapung pun mereka berpaut,’. Faham-faham sendirilah…

  • Penulis adalah penganalisis politik. Tulisan ini adalah pendangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV