ahmad idham

SELEPAS menerima berita penolakan tanpa alasan bagi projek filem kenegaraan yang dibentangkan pada 16 Mac lalu, pengarah U-Wei Saari mempersoalkan campur tangan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Menurut U-Wei,67, dia kurang memahami dengan tindakan Ahmad Idham yang bertindak dalam membuat keputusan meskipun sesi pembentangan filem berjudul Wang Jadi Saksi berkenaan dinilai seorang wakil Finas dan dua ahli akademik.

“Tidak ada satu soalan ditanya dan selepas pembentangan saya bertanya lagi, jika ada soalan atau keraguan dan mereka hanya menunjukkan ibu jari tanda semuanya baik.

“Saya tekankan di sini, mereka dipilih Finas ini adalah orang-orang pakar dipercayai dan mereka ilmuan yang saya dihormati.

“”Kala saya menerima berita penolakan, saya sebenarnya di antara tidak terkejut dan terkejut juga. Saya tidak faham akan campur tangan anda sebagai Ketua Pengarah dalam menentukan keputusan selepas kebijaksanaan yang diamanahkan kepada pegawai anda dan kedua pakar itu.

“Saya juga tidak nampak bijaknya sumbangan anda di peringkat akhir dalam keputusan, selain menunjuk kuasa anda. Setahu saya, selama saya membikin filem, saya tidak sedar atau tahu akan kecemerlangan anda dalam menghasilkan sesebuah karya filem bermutu tinggi atau dalam kata lain sebuah filem yang boleh diterima di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, U-Wei berharap, keputusan tidak meluluskan filem tersebut bukanlah disebabkan dia pernah menolak cadangannya untuk memimpin sebuah persatuan baharu dan menolak ziarah Finas.

“Sekali lagi, saya tidak bersetuju dengan rancangan Finas di bawah pentadbiran saudara. Oleh itu, saya harap perasaan prejudis saudara (jika ada) tidaklah digunakan untuk mempengaruhi keputusan terhadap permohonan saya.

“Jadi jika saudara turut serta dalam pemilihan dan penentuan projek mana patut diluluskan atau tidak dengan menggunakan kuasa veto untuk permohonan saya, sekali gus saudara sudah menghina kebijaksanaan panel dilantik Finas sendiri,” katanya.

U-Wei yang selama ini pernah meraih pelbagai pencapaian dalam bidang perfileman, kesal dan kecewa apabila dibelakangkan untuk membuat keputusan.

Saya tidak selesa untuk menyenaraikan pencapaian saya atau apa saja kejayaan dalam bidang ini. Tetapi, filem kenegaraan harus mendapat perhatian di luar negara dan ini boleh dicapai menerusi jemputan ke festival-festival filem antarabangsa yang relevan, sekali gus meletak filem kita ke dalam peta filem dunia.

“Akan menjadi nilai tambah jika sesebuah produksi mendapat perhatian dari awal yang selalu membikin pihak festival penasaran apabila mendapat tahu seseorang pengarah memulakan sesebuah projek filem.

Filem kita adalah jiwa kita. Jiwa yang besar. Ini adalah demi maruah filem kita jika kita ingin berpencak di persada dunia. Kita harus berkelakuan antarabangsa, jika kita mahu dilihat antarabangsa,” tuturnya.