Guna surat palsu lepas SJR, dadah RM4.2 juta dirampas

0
3199

KALAU dah namanya penjenayah, apa sahaja cara untuk melepasi perangkap polis akan cuba dilakukan.

Itu yang berlaku kepada satu sindiket dadah di Melaka yang menggunakan surat kebenaran palsu semata-mata untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR).

Sindiket itu malah telah menggunakan taktik berkenaan sejak tahun lalu dengan surat palsu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas alasan menjalankan perniagaan membekalkan alat ganti kenderaan.

Namun begitu, kegiatan itu akhirnya berjaya disekat polis sekali gus membawa kepada penangkapan empat individu termasuk seorang ahli kimia dalam dua serbuan minggu lalu.

Bukan itu sahaja, polis juga berjaya merampas 10.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM4.2 juta yang dipercayai akan diedarkan ke luar negara.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali, kesemua suspek berusia 33 hingga 50 tahun diahan dalam serbuan di Melaka dan Johor pada Rabu serta Khamis lalu menerusi Op Passat 2 yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Tangkapan pertama pada kira-kira pukul 5.30 petang Rabu lalu melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki kereta Volkswagen Passat dalam perjalanan ke Tanjung Kling, Melaka.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan dadah terbabit yang disembunyikan di antara tempat duduk belakang dan but kereta yang diubah suai.

Baca artikel berkaitan: Dua sindiket, satu makmal dibongkar dan dadah RM17.55 juta dirampas

“Suspek dipercayai cuba membawa dadah berkenaan melalui jalan laut di Tanjung Kling,” katanya dalam sidang akhbar seperti dilapor Bernama.com.

Dalam serbuan kedua pula, Abdul Majid berkata, ia melibatkan tangkapan sepasang kekasih warga tempatan dengan lelaki berkenaan merupakan ahli kimia berusia 40 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Muar, Johor kira-kira pukul 6.24 pagi keesokan harinya.

Abdul Majid memaklumkan, polis turut merampas tiga kenderaan jenis Perodua Myvi, barang kemas dan wang tunai pelbagai negara bernilai kira-kira RM117,116.08.

Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sejak Khamis lalu dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram