[Video] Hishammuddin berjaya sampaikan suara Malaysia melalui OIC

0
97

‘’Israel sebagai pelaku jenayah keji ini mesti dipertanggungjawabkan. Kebenarannya rakyat Palestin ialah mangsa di sini.Tiada orang lain yang lebih derita dibandingkan dengan rakyat Palestin akibat tindakan kurang ajar Israel.’’

Petikan ini adalah kenyataan tegas yang dibuat oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang tergempar peringkat menteri luar Jawatankuasa Eksekutif OIC, semalam.

Sesiapa juga yang menyaksikan rakaman video ucapan beliau pasti dapat menyimpulkan, biarpun bukan dalam nada suara yang tinggi namun dari segi pengucapan dan riak muka beliau, jelas sekali Hishammuddin menahan kemarahan berikutan perbuatan ganas dan biadab rejim pengganas Zionis.

Justeru itulah kalau meneliti setiap satu perkataan yang dilafazkan, Hishammuddin yang sejak menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO lagi cukup lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, kita akan dapat merasakan bagaimana Ahli Parlimen Sembrong itu berjaya membawa mesej tegas dan jelas Malaysia bukan sahaja kepada OIC tetapi juga masyarakat dunia.

Dalam ucapannya Hishammuddin tanpa berselindung membidas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat tidak melakukan apa-apa menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

‘’Ketika ini, ramai rakyat Malaysia termasuk saya kecewa dengan tidakkemampuan Majlis Keselamatan PBB dengan segera menghentikan keganasan Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin,’’ tegas beliau.

Dari riak wajahnya, Hishammuddin juga dilihat berasa marah dan kecewa dengan kejahilan sesetengah negara yang menganggap tindakan Israel sebagai mempertahankan diri.

‘’Adalah satu penghinaan apabila sesetengah negara bercakap mengenai hak Israel untuk mempertahankan diri tetapi tiada satu pun perkataan keluar mengenai hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri, ketika mereka terus disembelih dan merekalah yang telah dijajah lebih 50 tahun.’’

Ketegasan dan kelantangan Hishammuddin membawa suara Malaysia ke pentas OIC itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana beliau merupakan antara pemimpin paling awal mengecam tindakan ganas Israel ke atas rakyat Palestin apabila rejim Zionis menyerbu Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang bersolat.

Dalam catatan melalui Facebooknya pada 11 Mei lalu – beliau berkata;

‘’Ada yang share video ni tadi. Tak sanggup nak tengok sampai habis…katanya ini situasi semasa tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi menceroboh Masjid suci #AlAqsa. Di kala sebahagian umat Islam tenang melalui hari-hari terakhir Ramadan, saudara mara kita di Palestin terpaksa hadapi ujian seberat ini.

”Perbuatan zalim Kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa!Marilah kita di Malaysia berdoa, semoga mereka terus kuat dan tabah.”

Hishammuddin sekali lagi menghamburkan kemarahannya terhadap rejim Zionis apabila pada hari yang sama sebelah malamnya, beliau mencatatkan;

‘’Israel terlalu angkuh. Belum reda kemarahan umat Islam susulan pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi ke atas Masjid Al-Aqsa, mereka terus bertindak zalim dengan melancarkan serangan udara semalam yang mengakibatkan kematian dan kecederaan orang awam Palestin termasuk kanak-kanak.

‘’Perbuatan terkutuk ini amat melampau, tidak berperikemanusiaan serta secara terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa. Lebih mendukacitakan, ia dilakukan ketika umat Islam sedang memaknai Ramadan dan bersedia menyambut Syawal lusa. Kebiadaban ini sangat tidak menghormati Islam dan umatnya.

”Pendirian tegas Malaysia ini mesti disokong seluruh masyarakat dunia. Berdiam diri dengan kekejaman Israel bukan lagi caranya. Semua pihak mesti menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk memiliki negara yang bebas dan berdaulat. Malaysia akan terus bersama Palestin!’’

Kesedihan terhadap apa yang menimpa rakyat Palestin dan diiringi perasaan marah yang mendalam kepada rejim Zionis itulah yang membantu Hishammuddin berupaya membawa suara berani Malaysia ke persada antarabangsa seperti mana beliau janjikan sehari sebelum mesyuarat semalam melalui Facebook beliau;’

‘’Saya akan sampaikan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC. Saya juga akan menyuarakan gesaan ramai rakyat Malaysia agar OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel. Kekejaman dan kezaliman tentera penjajah Israel terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan serta merta tanpa sebarang kompromi!”

Lanjutan itulah rata-rata netizen memuji ketegasan dan keberanian Hishammuddin selepas mendengar ucapan beliau dalam mesyuarat tersebut, antara komen-komen netizen;

‘’Tahniah Dato’ sebab berani menyuarakan cadangan dalam mesyuarat tergempar tadi. Sangat pilu hiba melihat saudara Islam kita di bumi Palestin. Semoga mendapat pertimbangan dari negara-negara lain di dunia untuk sama-sama membantu mengakhiri kekejaman yang amat zalim ini dengan segera.Kita berusaha semoga ada perkhabaran gembira. Ayuh rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi rakyat Palestin di sana. Amiin Ya Rabb.?? #savepalestine’’

‘’Terbaik Dato’ selaku rakyat Brunei kami sangat berbangga dengan peranan Malaysia selama ini untuk rakyat Palestin terutamanya Tun M yang dari dulu lagi dengan suara yang lantang brsuara di pentas dunia dengan beraninya bukan seperti Negara negara Axxb yang terlalu jahil sedangkan bangsa mereka sendiri ditindas pun mereka tidak berapa mahu mengambil peduli.’’

‘’Terbaik Datuk Seri Hishamuddin bin Tun Hussein Onn kerana Datuk Seri bersuara demi umat Islam di Palestine OIC tidur, belum jaga dari mimpi.’’

‘’Tahniah Dato’..lantang dan berani bersuara ..contohi Tun M ..bijak,lantang dan berani dengan puak Yahudi ni .. jangan bagi muka ..takkan Melayu hilang di dunia.’’

Hakikatnya selain kemampuan dan kebolehan diplomatik Hishammuddin, tugas beliau menyampaikan pendirian Malaysia dalam isu Palestin menjadi mudah memandangkan kerajaan di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri turut tegas dalam perjuangan tersebut.

Muhyiddin dalam perutusan khas ke seluruh negara pada Sabtu lalu secara tegas mengecam perbuatan keji dan terkutuk Israel khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

Ketegasan Muhyiddin dan kerajaan Malaysia itulah yang memberi semangat kepada Hishammuddin untuk memastikan mesej Malaysia didengari oleh masyarakat antarabangsa melalui OIC.

Dan penulis percaya pendirian Malaysia melalui OIC itu sudah pasti diketahui oleh Majlis Keselamatan PBB yang ketika ini boleh dianggap ‘pekak’ dan ‘buta’ melihat apa yang berlaku di Palestin.

Rakan penulis yang bertugas sebagai seorang diplomat ketika diminta mengulas ucapan Hishammuddin berkata,’’ saya bangga dengan keberanian dan ketegasan beliau serta kerajaan Malaysia. Datuk Seri amat faham tugas beliau.’’