Jad, si YAHUDI yang mengabdikan hidupnya menyebarkan ajaran al-Quran

0
125
Kisah Yahudi peluk islam

Kira-kira 50 tahun lalu, di sebuah tempat di Perancis. Seorang lelaki tua berusia 50 tahun bernama Ibrahim. Dia memiliki sebuah kedai yang menjual makanan Muslim.

Kedainya terletak di kawasan pangsapuri yang dihuni oleh sepasang suami isteri Yahudi bersama anak lelakinya yang berusia 7 tahun bernama Jad.

Setiap hari Jad akan ke kedai Ibrahim untuk membeli segala keperluan harian yang dipesan oleh emaknya. Dan, setiap kali itu Jad akan mengambil coklat di dalam balang yang dijual oleh Ibrahim.

Jad akan memastikan Ibrahim tidak melihat perbuatannya terlebih dahulu sebelum mengambil coklat kegemarannya. Itulah yang sering dilakukannya sebelum keluar dari kedai Ibrahim.

Suatu hari selepas membeli keperluan yang dipesan oleh emaknya, dia lupa untuk mengambil coklat sebelum meninggalkan kedai. Kemudian, Ibrahim memanggilnya,

“Jad! Saya rasa kamu terlupa hendak mengambil sesuatu, hari ini.”

Jad terkejut, kerana dia sangka selama ini Ibrahim tidak mengetahui apa yang dilakukannya.

“Maafkan saya pak cik. Tolonglah jangan beritahu hal ini kepada emak dan ayah saya,” Jad merayu.

Ibrahim menjawab, “Tidak mengapa. Apa yang penting kamu mesti berjanji, tidak akan mengambil apa-apa di dalam kedai ini tanpa kebenaran saya. Dan, bila-bila masa saja kamu hendak keluar dari kedai ini, ambillah coklat itu. Ia hak kamu!”

Jad gembira dan berjanji akan meminta dahulu sebelum mengambilnya dari balang milik Ibrahim.

Masa berlalu dan tahun berganti, Ibrahim semakin tua dan sudah dianggap sebagai bapa serta kawan baik bagi Jad, kanak-kanak Yahudi itu.

Sudah menjadi kebiasaan setiap kali dirundung masalah, Jad akan datang kepada Ibrahim untuk meminta nasihat. Setiap kali Jad bercerita tentang masalahnya, Ibrahim akan membawa keluar sebuah buku tebal dari lacinya.

Buku itu diberikan kepada Jad dan memintanya untuk memilih mana-mana muka surat secara rambang. Selepas Jad membukanya, Ibrahim akan membaca dua muka surat daripadanya hingga selesai.

Kemudian menutup semula bukunya itu dan mula memberikan nasihatnya serta memberi jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi Jad.

Begitulah masa berlalu, apabila ada masalah melanda, Jad akan bertemu dengan Ibrahim seorang lelaki tua yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Kotak ajaib

Tujuh belas tahun berlalu, kini Jad sudah pun menjadi pemuda yang segak berusia 24 tahun, sementara Ibrahim sudah semakin tua, 67 tahun.

Ibrahim akhirnya dipanggil Ilahi. Pun begitu, sebelum meninggal dunia Ibrahim sempat mewasiatkan kotak ‘ajaibnya’ kepada salah seorang anaknya untuk diserahkan kepada Jad. Di dalam kotak itulah Ibrahim menyimpan sebuah buku tebal yang sering dibacakan kepada Jad, setiap kali datang mengadu masalah kepadanya. 

Ibrahim mahu anak-anaknya menyerahkan buku itu kepada Jad sebagai hadiah terakhir darinya. Jad hanya mengetahui tentang kematian Ibrahim apabila anak sahabatnya itu datang untuk menyerahkan kotak yang berisi wasiat kepadanya.

Seketika Jad tergamam, tubuhnya menggeletar dan kesedihannya sukar digambarkan. Baginya hanya Ibrahim seorang saja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi selama ini.

Selepas ini tidak ada siapa lagi yang mampu membantunya jika ada masalah. Ibrahim adalah kawan sejatinya yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri.

Hari berlalu, setiap kali dirundung masalah, Jad akan teringatkan Ibrahim. Kini, yang tinggal hanyalah sebuah kotak kecil. Kotak itu juga selalu dibuka, di dalamnya tersimpan kemas buku tebal yang selalu Ibrahim baca setiap kali dia datang mengadu masalahnya.

Perlahan-lahan Jad cuba membuka buku itu tapi buku itu ditulis di dalam bahasa Arab dan dia tidak tahu membacanya. Hatinya meronta untuk mengetahui apa yang tertulis di dalam buku yang selalu dibaca Ibrahim.

Buku itu dibawa kepada salah seorang sahabatnya yang berbangsa Tunisia. Jad melakukan perkara yang sering dilakukan ketika bersama Ibrahim iaitu memilih muka surat secara rambang apabila datang meminta nasihat. Lalu diminta sahabatnya itu membaca dua muka surat yang dipilih tadi.

Kawan Tunisianya itu terus membaca dua muka surat yang dipilih Jad kemudian menerangkan maksudnya. Nampaknya apa yang diterangkan  sahabatnya itu betul-betul sesuai dengan masalah yang sedang dihadapi saat itu.  

Kemudian Jad cuba menjelaskan masalah yang sedang dihadapi dan sahabat Tunisianya itu telah menyelesaikannya berdasarkan ayat yang dibaca tadi.

al-Quran mengubah si Yahudi kepada Islam

Jad terkejut dan termangu seketika, perasaannya penuh dengan tanda tanya dan tidak sabar ingin mengetahui tentang buku yang baru dibaca tadi.

“Buku apa ni, sebenarnya?”

Sahabatnya menjawab: “Inilah al-Quran, kitab suci orang Islam.”

Jad mengerutkan dahinya, dari sudut hatinya terbit perasaan tidak percaya tapi di dalam masa yang sama amat mengagumi buku itu. Sekali lagi Jad bertanya,

“Bagaimana untuk menjadi seorang Muslim?”

Sahabatnya menjawab, “Dengan mengucapkan syahadah dan mengikut tuntutan syariat.”

Tanpa keraguan, Jad terus mengucap syahadah di hadapan sahabatnya dan, sekarang dia menjadi Muslim.

Jad menjadi Muslim

Kini, Jad sudah menjadi seorang Muslim, kemudian dia menukar namanya  kepada Jadullah Al-Qurani. Namanya itu adalah mengambil sempena al-Quran dan rasa hormatnya yang tidak terhingga kepada kitab suci itu yang selama ini telah menjawab semua masalah yang dilalui sepanjang hidup.

Sejak itu Jad telah membuat keputusan untuk mengabadikan seluruh hidupnya dengan menyebarkan ajaran al-Quran. Jadullah mula mendalami dan benar-benar memahaminya isi kandungannya. Dari situlah dia meneruskan dakwahnya ke seluruh Eropah dan telah berjaya mengislamkan enam ribu orang Yahudi serta Kristian.

Suatu hari, Jadullah membuka al-Quran yang dihadiahkan oleh Ibrahim. Tiba-tiba dia terpandang lipatan peta dunia yang terselit di dalam al-Quran itu. Dibuka peta dunia itu perlahan-lahan dan matanya terus terpaku apabila melihat peta benua Afrika.

Di hujung peta itu terdapat tanda tangan Ibrahim dan sepotong ayat yang dipetik daripada surah An-Nahl ayat 125.

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik…”

Jad yakin pesanan itu adalah dari Ibrahim dan berazam akan memenuhi permintaan itu. Selepas beberapa ketika, Jadullah meninggalkan Eropah untuk berdakwah di benua Afrika termasuk Kenya, Sudan Selatan (di mana populasinya adalah Kristian), Uganda dan negara sekitarnya.

Jadullah berjaya mengislamkan jutaan orang dari puak Zulu, belum termasuk puak-puak Afrika yang lain.

Jadullah Al-Qurani adalah Muslim yang bijak, da’ie sejati yang mengabdikan hampir 30 tahun daripada usianya untuk mengembangkan Islam ke benua Afrika. Sudah berjuta puak-puak yang menghuni benua Afrika berjaya diislamkan di tangannya.

Dia meninggal dunia pada 2003 setelah menderita sakit ketika usianya 45 tahun ketika sedang khusyuk berdakwah.

Islam kerana akhlak

Ini pula kisah ibu Jad yang tidak pernah merestui pilihannya untuk menjadi Islam. Ibunya adalah Yahudi fanatik, mempunyai pendidikan tinggi dan seorang pensyarah universiti di Perancis.

Dia tidak pernah putus asa untuk mengembalikan Jad kepada agama asalnya sehinggalah Jad menutup mata. Namun hidayah Allah singgah di hatinya ketika dia berusia 70 tahun iaitu kira-kira dua tahun selepas kematian Jad.

Sejak hari pertama Jad menyatakan dirinya Islam, ibunya tidak pernah merestui. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengembalikan si anak ke agama asal iaitu Yahudi.  Dengan pengetahuan, kepandaian, pengalaman dan kebolehan segala usaha digembleng untuk mengeluarkan Jad dari Islam.

Namun usahanya selama 30 tahun itu hanya sia-sia saja, Jad tetap dengan pendirian bahawa Islam adalah yang terbaik.  Berlainan dengan Ibrahim, hanya seorang tua tanpa pendidikan tinggi tapi mampu melambut hati Jad kerana Islam adalah agama yang benar.

Sentiasa bermain di dalam fikiran si ibu, “Mengapa Jad memeluk Islam?

Jadullah Al-Qurani memberikan jawapan yang amat bermakna. Kata Jadullah, Ibrahim yang dikenali selama 17 tahun tidak pernah memanggilnya, “Hey kafir!” apa lagi menggelarnya, “Hey Yahudi!”.  Malah Ibrahim tidak pernah pun menyebut tentang Islam di hadapan Jad apatah lagi mengajaknya kepada Islam.

Jutaan orang telah berjaya diislamkan oleh Jadullah al-Qurani

Bayangkanlah selama 17 tahun berkawan, Ibrahim tidak pernah pun sekali mengajar atau menyebut tentang Islam kepada Jad. Jauh sekali untuk berbincang tentang soal agama Islam mahu pun Yahudi.  Persahabatan itu berlangsung atas dasar keikhlasan dan erti kata sebenar persahabatan.

Ibrahim seorang lelaki tua yang ringkas tidak pernah mengajak Jad berbincang isu agama. Tapi dia tahu bagaimana untuk memenangi hati seorang kanak-kanak.

Maka dia hanya melantunkan akhlak Muslim yang dibawakan oleh al-Quran. Hanya itu cara yang digunakan oleh Ibrahim untuk memikat Jad kepada Islam, itu pun terjadi selepas kematiannya.

Cerita ini disahkan kebenarannya oleh Dr. Safwat Hijazi (da’ie terkenal Mesir) yang pernah menyertai seminar di London untuk membincangkan masalah Darfur. Masalahnya bukan saja soal kebuluran tetapi mencari penyelesaian kepada masalah Kristian.

Di situlah Dr. Safwat bertemu dengan salah seorang ketua puak Zulu. Apabila ditanya tentang pengislamannya sama ada melalui Jadullah Al-Qurani, lelaki itu menafikannya. Namun dia mengaku memeluk Islam melalui seseorang yang pernah diislamkan oleh Jadullah Al-Qurani.

Subhanallah! Entah berapa ramai penduduk benua Afrika yang telah diislamkan oleh mereka yang telah diislamkan oleh Jadullah Al-Qurani. Dan, Jadullah Al-Qurani sendiri memeluk Islam di tangan seorang lelaki tua yang tidak mempunyai pendidikan tinggi tapi memiliki  akhlak Islam yang mengagumkan dan tulus.

Dakwah dengan akhlak

Kisah Jadullah ini adalah cerita benar yang seharusnya menyuntik kesan mendalam kepada kita, tambah-tambah dengan keadaan dunia hari ini yang begitu longgar ikatan imannya.

Di mana orang Islam tidak lagi mengendahkan cara dakwah yang dianjurkan oleh al-Quran. Begitu mudah melemparkan perkataan kafir, lebih banyak mencerca, mendakwa orang lain sesat, mengatakan orang lain bidaah, menyumpah seranah, menyebarkan fitnah, sedangkan mereka semua adalah Muslim.

Kenangkanlah kegigihan para da ‘ie menyebarkan tauhid dan Islam kepada bukan Islam. Tapi mengapa hari ini mereka yang dilahirkan Muslim begitu mudah mengisytiharkan kafir dan menuduh syirik?

Bukankah kita hanya layak untuk menghakimi berdasarkan apa yang dilihat secara luaran saja? Apabila bersangkut hal batin biarlah Allah yang mengadilinya di akhirat nanti. Kita tidak pernah diarahkan langsung untuk menebuk isi hati setiap manusia bagi mengukur tahap keimanan seseorang.

Jika hari ini kita dapati seseorang itu kafir, tidak mustahil suatu hari nanti hidayah Allah datang kepadanya dan dia pun memeluk Islam. Kenangi kisah Umar Al- Khattab, yang memusuhi Rasulullah pada awal kerasulan baginda tapi Allah telah meniupkan hidayah kepadanya lalu dia memeluk Islam.

Tidak mustahil seseorang Muslim jika Allah cabut hidayah dari hatinya dan dia mati sebagai kafir. Na’udzubillahi min Dzalik. Mudah-mudahan janganlah sampai begitu.

Ini hanya secebis kisah tentang Jadullah Al-Qurani yang telah dipetik daripada hasil tulisan Syeikh Emad Effat dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Al-Ikhwan Al-Mujahidun, pelajar Undang-undang Islam Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir.

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram