Naik semula cecah 4,446 jangkitan baharu, Johor hampir 400

0
633

HANYA sehari berada di bawah angka 4,000, hari ini kes jangkitan baharu COVID-19 kembali melepasi jumlah tersebut apabila mencecah 4,446 penularan.

Selangor masih kekal mencatatkan penularan tertinggi malah jumlah itu meningkat sebanyak 375 kes kepada 1,650 jangkitan baharu COVID-19 hari ini berbanding 1,275 yang dilaporkan semalam.

Ia sekali gus menjadikan kadar penularan keseluruhan di Selangor sejak wabak tersebut dikesan di Malaysia tahun lalu adalah sebanyak 155,313 kes.

Kedua tertinggi hari ini adalah di Sarawak yang melaporkan 433 kes baharu, meningkat sedikit berbanding 405 dicatatkan semalam.

Dua negeri mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 hari ini iaitu Negeri Sembilan dan Johor dengan masing-masing merekodkan 243 dan 391 penularan.

Perbezaan jumlah kes sangat ketara berlaku di Negeri Sembilan yang melaporkan peningkatan sebanyak 173 kes berbanding hanya 70 direkodkan semalam manakala Johor mencatatkan 224 kes.

Kes jangkitan baharu di Terengganu juga kembali naik kepada 201 kes hari ini berbanding hanya 58 dicatatkan semalam.

Baca artikel berkaitan: 3,780 penularan COVID-19, Kelantan dan Kedah lebih 300

Walaupun masih berada dalam lingkungan angka 100 ke atas, namun kes baharu di Pulau Pinang terus memperlihatkan trend penurunan kepada 159 kes hari ini berbanding 338 yang direkodkan kelmarin dan 187 semalam.

Sementara itu, berdasarkan hantara Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah di media sosialnya, Kelantan dan Kuala Lumpur masih mencatatkan kes baharu tinggi iaitu masing-masing sebanyak 343 dan 297 kes.

Negeri-negeri lain yang turut merekodkan jangkitan baharu pada kadar tiga angka termasuk Perak (203 kes), Kedah (236 kes) dan Pahang (139 kes).

“Dua negeri lain merekodkan dua angka kes baharu COVID-19 iaitu Melaka sebanyak 80 kes dan Sabah berjumlah 60 kes.

“Sebanyak 11 kes telah dilaporkan di Putrajaya hari ini manakala tiada jangkitan baharu dikesan di Labuan dan Perlis,” katanya dalam hantaran tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram