Ketua Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

KIRA-KIRA 21 tahun lalu, Malaysia dikejutkan dengan kes penculikan 21 orang di sebuah resort peranginan terkemuka, Pulau Sipadan melibatkan warga tempatan dan pelancong asing.

Jenayah yang dilakukan Abu Sayyaf itu membawa tebusan ke kem kumpulan itu di Pulau Jolo di mana kesemua mereka ditahan selama enam bulan.

Mereka dibebaskan secara berperingkat dengan yang terakhir dilepaskan pada 11 September tahun sama.

Kemudiannya, siri penculikan melibatkan kumpulan Abu Sayyaf terus berlaku termasuk membabitkan kehilangan nyawa rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen yang dibunuh kejam pada November 2015.

Hari ini, polis Sabah mengumumkan telah berjaya melumpuhkan satu sel kumpulan Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah dan mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh.

Ia selepas polis menembak mati lima lelaki daripada kumpulan pengganas itu di kawasan setinggan Beaufort, Sabah semalam.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, semua lelaki itu ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah yang menjalankan operasi khas dalam kejadian pukul 11.20 pagi.

Pada masa sama, Hazani memberitahu, salah seorang suspek yang berjaya ditembak mati adalah Mabar Binda iaitu ‘sub leader’ Abu Sayyaf yang termasuk dalam senarai dikehendaki kerajaan Filipina.

Tiga lagi suspek yang ditembak mati, kata Hazani, dikenali sebagai Abhirsham [email protected], Jurakhdam Binda dan Alsimar Sukarno manakala seorang lagi belum dikenal pasti dengan kesemuanya berusia antara 20 hingga 40-an.

Baca artikel berkaitan: Lapan geng Abu Sayyaf Filipina ditahan hasil operasi khas

Beliau berkata, seorang lelaki dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu sebelum terus melepaskan tembakan ke arah pasukan polis semasa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan.

Beberapa suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang turut keluar dan melancarkan serangan kepada polis.

“Dalam usaha mempertahankan diri dan menghentikan ancaman, pasukan polis terpaksa membalas tembakan. Serangan kemudiannya berjaya dihentikan dan pemeriksaan mendapati lima lelaki telah ditumpaskan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada suspek memegang pistol manakala tiga lagi bersenjatakan parang,” katanya dalam sidang akhbar seperti dilaporkan BH Online hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, polis turut merampas dua pucuk pistol, dua laras peluru, 20 peluru hidup jenis .45, dua kelongsong peluru dan tiga bilah parang.

“Dua yang ditembak mati ini juga disahkan pernah terbabit dalam insiden pengeboman lori tentera pasukan keselamatan Filipina.

“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah dan elah melakukan ba’iah dengan kumpulan militan Daesh.

“Polis juga mengesyaki masih lagi ada saki baki dan tali barut yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah dan kita sedang menyiasat perkara ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram