DAERAH Yan di Kedah telah diwartakan sebagai satu daripada Pelabuhan Persekutuan berkuat kuasa 10 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pengisytiharan tersebut adalah terkandung di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Menurut Ka Siong, suatu had pelabuhan juga telah diisytiharkan di dalam warta sama melibatkan keluasan perairan 600 kilometer (km) persegi dengan mengambil kira jarak sejauh lebih kurang 20 batu nautika dari pantai Yan di bawah Seksyen 6 Ordinan sama.

Sebagai rekod, kata beliau, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang bertanggungjawab ke atas pembangunan wilayah utara telah berhasrat melakukan aktiviti perkapalan dan pembangunan di pesisiran Pulau Bunting yang terletak di perairan Yan.

“Pembangunan di Yan sebagai sebuah pelabuhan dijangka meningkatkan aktiviti perkapalan di perairan tersebut dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan serta membangunkan kawasan sekitar daerah berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Anak kapal tanpa kira negara tak dibenar ‘sign off’ – Ka Siong

“Cadangan pembangunan ini turut dapat menyokong pembangunan industri perkapalan serta memajukan sektor pelancongan sekali gus berupaya menjana ekonomi negara amnya dan negeri Kedah khususnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong memaklumkan pelabuhan itu juga akan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) selaku agensi utama di bawah Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab mengawal selia isu-isu berkaitan perkapalan dan keselamatan pelayaran termasuk pelabuhan.

Jelas Ka Siong, antara tanggungjawab JLM adalah untuk memastikan keselamatan aktiviti dan trafik perkapalan di perairan tersebut yang dijangka meningkat termasuk menetapkan ruang laluan selamat, selesa dan bersesuaian di kawasan pelabuhan.

“Pewartaan dan pembangunan aktiviti perkapalan ini juga sejajar dengan Belanjawan 2021 seperti mana dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu yang memperuntukkan sebanyak RM780 juta kepada lima koridor wilayah pembangunan tahun ini.

“Perutukan ini termasuk pembinaan infrastruktur dan komponen projek Zon Pembangunan Khas di Yan dan Baling, Kedah di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilihat akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram