Penubuhan majlis musyuwarah bukan asing terutama ketika wujud keperluan selepas pemulihan untuk pasca COVID-19. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid


Oleh CHE MAN CHE WIL

Jumlah jangkitan Covid-19 terus melonjak kepada 6,075 kes dengan Selangor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 2,251 kes, Kuala Lumpur (660), Johor (699), Kedah (445) dan Kelantan (441).

Seperti biasa apabila kes melonjak-lonjak naik maka ‘Jabatan Netizen Negara’ selain terus menyalahkan kerajaan akan muncul dengan macam-macam cadangan hebat.

Contohnya cadangan agar kerajaan memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebagaimana ketika pandemik ini mula-mula melanda negara tahun lalu.

Ironinya, ‘jabatan’ inilah juga yang bertalu-talu menyerang dan membelasah kerajaan apabila PKP dikuatkuasakan dahulu.

Tidak ada satupun yang baik pada mata jabatan ketika itu walaupun langkah tersebut berjaya mengekang penularan jangkitan Covid-19. Samalah juga apabila mereka mengkritik arahan larangan rentas daerah dan negeri yang kononnya longgar dan tidak berkesan.

Sedangkan yang berbondong-bondong mencuba mahu melepasi sekatan jalan raya beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri dan menyesakkan Tol Bentong dan Tol Gombak kelmarin tidak lain dan tidak bukan warga jabatan yang sama!

Warga ‘jabatan’ tersebut barangkali sudah mula menyedari kepentingan menyelamatkan nyawa rakyat mengatasi keperluan lain. Kelonggaran yang diberikan selama ini tidak mampu membendung penularan wabak malah menjadikan situasi lebih buruk dengan jumlah jangkitan meningkat setiap hari.

Sebelum ini kerajaan memberi kelonggaran dengan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa agar tidak menjejaskan sumber pendapatan rakyat dan menghidupkan kembali aktiviti ekonomi rakyat. Bagaimanapun kes jangkitan tidak pula berkurangan malah semakin menjadi-jadi sehingga mengancam nyawa rakyat.

Ada pula yang melihat tidak perlu diperkenalkan balik PKP secara penuh kerana punca kepada segala yang berlaku ini adalah terletak kepada diri sendiri iaitu pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Apa yang berlaku sekarang berpunca daripada ketidakpatuhan kepada SOP. Jika semua orang akur dan mengikuti apa yang terkandung dalam SOP, tidak perlu ada pun total lockdown sebagaimana PKP 1.0 dahulu.

Masalahnya berpunca daripada perbuatan tidak patuh. Ada sahaja yang cuba mencabar SOP ini. Masih ramai yang mengadakan majlis berbuka puasa, ‘rumah terbuka secara tertutup’, upacara kacau dodol dan bakar lemang, cuba-cuba menyusup balik ke kampuang halaman semasa cuti perayaan menggunakan surat rentas negeri, masih ramai ziarah-menziarahi pada hari raya, masih ramai tidak menjaga jarak fizikal, tidak memakai pelitup muka dan tidak boleh duduk diam-diam di rumah masing-masing.

Coretan Pengarah Kesihatan Terengganu Dr. Nor Azimi Yunus dalam media sosial baru-baru ini menjadi contoh menarik bagi menggambarkan situasi ini.

Beliau menyenaraikan beberapa kisah yang menjadi pencetus kepada penularan kes Covid-19 di negeri itu. Semuanya berpunca daripada tidak ada pematuhan SOP sehingga menyebabkan berlaku peningkatan kes harian kepada tiga digit.

Pada masa ini seramai 14 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dr Nor Azimi langsung tidak terkejut dengan perkembangan tersebut kerana perangai dan fiil rakyat Terengganu sendiri yang memberi ruang dan peluang kepada virus itu untuk ‘bersuka ria’ di negeri tersebut.

Kes pertama melibatkan aktiviti melepak sekumpulan 18 orang di sebuah rumah kosong di Setiu menyebabkan 17 orang yang terdiri daripada kawan lepak dan ahli keluarga positif Covid-19 dengan 162 orang kontak rapat dikesan.

Dalam kes kedua beliau bercerita bagaimana larangan diadakan majlis berbuka puasa tidak dipatuhi melibatkan 20 orang sehingga mencetuskan Kluster Bukit Pauh, Dungun
dengan 78 orang didapati positif dan 496 orang kontak rapat. Kes itu merebak pula ke Kuala Terengganu apabila mangsa berjumpa kawan-kawan semasa moreh. Dua rakannya dikesan positif.

Menurut Dr Nor Azimi, walaupun pelbagai larangan telah dikeluarkan, sekumpulan jemaah tetap menganjurkan majlis berbuka puasa di sebuah surau di Marang menyebabkan 26 orang disahkan positif dan 283 orang kontak rapat dikesan.

Ada juga kes guru berjumpa hanya semata-mata mahu berbincang mengenai kertas jawapan peperiksaan sahaja yang akhirnya menyebabkan ketiga-tiga mereka positif Covid-19!

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu itu berkata, beliau boleh berkongsi berpuluh-puluh kisah untuk dijadikan iktibar yang semuanya berpunca daripada tidak mematuhi SOP atau ‘Sop Ke laut’.

Kenapa berlaku sedemikian soal beliau? Puncanya mereka tidak cakna, ambil sikap sambal lewa malah ada yang memperlekehkan pematuhan SOP.

Semua dianggap rekaan dan menyusahkan hidup kerana itu mereka mengambil mudah kebolehjangkitan virus ini. Beliau secara sinis meminta rakyat negeri itu meneruskan aktiviti ‘bersuka ria’ mereka jika masih merasa ‘kebal’ dengan virus ini !

Selagi SOP dipandang remeh, dipandang sambal lewa dan diperlekehkan oleh sesiapa sahaja tidak kira pangkat atau kedudukan, janganlah berangan perang melawan pandemik ini akan berakhir dengan kemenangan!

*Penulis adalah penganalisis politik.