puteri sarah

SELEPAS melakukan ujian calitan (swab test) buat kali ketiga, pelakon Puteri Sarah Liyana disahkan positif Covid-19.

Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya menerusi entri di Instagram.

Menurut isteri kepada pelakon dan pengarah Syamsul Yusof itu, dia tidak menyangka akan dijangikiti wabak tersebut meskipun tidak menunjukkan sebarang simptom yang membimbangkan.

“Assalamualaikum semua, sebaik-baik kita menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan tak campur orang, akhirnya kecundang juga.

“Saya merupakan individu daripada kategori C sebelum ini sebab menjalani penggambaran dan dua kali buat ujian calitan saya disahkan negatif.

“Paling menyedihkan, semalam buat lagi ujian calitan sebab saya tak ada deria rasa bila makan dan tak ada deria bau (baru berlaku semalam).

“Bila buat ujian calitan ketiga semalam, saya disahkan positif Covid-19.

“Sebelum ini kuarantin tak ada simptom apa-apa pun. Saya sihat tapi terkena juga,” katanya.

Puteri Sarah turut memohon maaf kepada ahli keluarga dan kontak rapat yang pernah bertemu dengannya sebelum ini.

“Saya minta maaf siapa yang kontak rapat dengan saya dari 10 Mei…pergilah buat ujian calitan (swab test).

“Minta maaf kepada keluarga saya, suami dan anak-anak. Doakan kami semua ya.

“Jangan keluar rumah kalau tak ada apa-apa nak buat. Jaga diri semua,” ulasnya.