ingkar SOP direkod
Ismail Sabri Yaakob

JANGAN pelik andai kes hari ini yang mencecah lebih 6,000 kes meningkat pula jadi lima angka.

Manakan tidak, keingkaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terus kekal tinggi.

Semalam misalnya, 513 individu ditahan kerana pelbagai kesalahan ingkar SOP PKP.

Lebih mendukacitakan, kesalahan ingkar SOP direkod libatkan segala jenis – jika laksa lengkap segala ramuan dari ulam hingga otak udang.

Dari yang asas seperti tidak pakai pelitup muka dan gagal rekod butiran diri memasuki premis hinggalah kepada aktiviti terlarang – judi, pusat hiburan dan rentas daerah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhannya 484 individu dikompaun manakala 29 lagi direman.

Katanya, kesalahan tertinggi direkodkan dalam pemantauan pihak berkuasa semalam ialah tidak memakai pelitup dengan 185 kesalahan.

“Ini diikuti gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (105), tiada penjarakan fizikal (79) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (57).

“Turut diambil tindakan aktiviti perjudian (12), aktiviti pusat hiburan (5), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (5) dan ain-lain (65),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Duduk rumah. Kes baharu COVID-19 cecah 6,075 hari ini!!

ICU COVID-19 di 29 hospital makin penuh, KP Kesihatan kata kita tiada pilihan lagi

Hari ini mencatatkan kes tertinggi COVID-19 jika masih banyak kes ingkar SOP direkod, kes mungkin terus naik.

Menurut Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja
Malaysia (PDRM) telah melakukan 78,260 pemeriksaan semalam bagi memantau SOP PKP.

“Seramai 4,040 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,007 anggota telah membuat pemantauan di 4,345 pasaraya, restoran (5,116), kilang (2,421), bank (3,942), pejabat kerajaan (981) dan penjaja (2,153).

“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (1,790), tempat ibadah (3,011), tempat riadah (1,693), terminal pengangkutan darat (2,616), terminal pengangkutan air (393) dan terminal pengangkutan udara (140),” jelasnya.

Sementara itu, ujar Ismail Sabri, seramai 576 individu tiba di semua pintu masuk
antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara semalam.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 206,894 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 72 hotel dan 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,521 individu telah dikuarantin dan 197,324 orang dibenarkan pulang manakala 2,049 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram