Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat khidmat bekas pemain Leeds United dari Australia, Shane Lowry secara perpindahan percuma.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest, menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook Johor Southern Tiger hari ini.

“Lowry sebelum ini menyertai kelab Al Ahli dalam saingan Liga Qatar dan pernah beraksi bersama beberapa kelab Liga Inggeris iaitu Leeds United, Sheffield United, Milwall dan Leyton Orient.

“Malah, Lowry pernah beraksi dengan kelab Perth Glory dalam saingan Liga Australia pada musim 2016 hingga 2019 sebelum berhijrah ke Qatar,” kata kenyataan itu.

Kejayaan JDT membawa Lowry ke Harimau Selatan pastinya bakal menambah kekuatan di posisi tengah dan pertahanan bagi menggantikan Hariss Harun yang kini berhijrah ke kelab Singapura, Lion City Sailors FC.

Pemain berusia 31 tahun itu merupakan pemain kelahiran Perth dari Ireland serta pernah mewakili pasukan remaja bawah 17 dan 21 tahun Republik Ireland sebelum mengambil keputusan kembali ke Australia sebagai pemain senior.

Pemain itu pernah beberapa kali dipanggil menyertai pasukan senior Australia termasuk Piala Dunia 2010 tetapi tidak pernah berpeluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Baca artikel berkaitan: Masa depan Kane semakin samar di Spurs

Sementara itu, memetik laporan Vocketfc, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, mengikut perancangan, Lowry akan bergandingan dengan Mauricio Nascimento, seorang lagi pemain import di bahagian pertahanan Harimau Selatan itu menghadapi Liga Juara-juara Asia (ACL).

“Apabila liga bermula dia ‘back up’ Mauricio jikalau ada apa-apa berlaku atau kecederaan kita masih ada pertahanan import. Hong Wan dari Wolverhampton pula mengisi tempat Haris Harun sebagai tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail mendedahkan pemain dari Argentina, Gonzalo Cabrera bakan menjadi pemain naturalisasi mulai tahun depan, namun tidak dinyatakan dengan lengkap.

“Gonza (Gonzalo) tahun depan akan jadi pemain tempatan. Kita ada lagi seorang pertahanan Sepanyol dari La Liga dengan pasport Asia pada Disember ini. Untuk maklumat lebih Alistair Edwards akan maklum kepada penyokong,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram