PANDEMIK COVID-19 telah memberi cabaran yang amat besar kepada semua dengan kes positif telah mencatatkan angka menakutkan iaitu 6,806 hari ini.

Situasi tersebut sekali gus telah mengubah landskap penjagaan kesihatan di Malaysia secara drastik apabila banyak hospital dan pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mulai penuh.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berpendapat kerajaan perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara sekurang-kurangnya selama 21 hari.

Kata Norshida, gesaan itu dibuat memandangkan situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berhadapan dengan cabaran dahsyat bukan sahaja untuk merawat pesakit COVID-19 tetapi juga mengendalikan pesakit lain.

Beliau berkata, 21 hari adalah tempoh paling minimum bagi membolehkan langkah drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19.

Menurut beliau, tidak timbul soal siapa betul atau salah dalam hal mendepani COVID-19 kerana ia merupakan virus berbahaya yang memerlukan kerjasama semua pihak.

“Sebaiknya semua pihak perlu mengikut nasihat pakar kesihatan. Kalau doktor dan KKM mencadangkan PKP lebih ketat sebagai langkah terbaik, kenapa tidak semua kementerian, agensi dan semua pihak akur?

Baca artikel berkaitan: Cadangan laksana PKP penuh dibincangkan esok – Takiyuddin

“Adakah kementerian dan agensi lain lebih tahu dan faham perihal COVID-19 atau sememangnya nyawa rakyat Malaysia tidak penting langsung?

“Ini virus maut, tak kena pada diri dan keluarga sendiri mudah kita bercakap. Dah kena baru panik. Terlambat untuk kita kerana kita perlu utamakan nyawa, baru ekonomi boleh hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cadangan sama ada kerajaan Persekutuan akan melaksanakan PKP secara menyeluruh akan dibawa dan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 pada pukul 3 petang esok.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mesyuarat itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Mengulas lanjut, Norshida berkata, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan dalam mengurangkan jangkitan COVID-19, bahkan dilihat semakin meningkat setiap hari.

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan negara boleh lumpuh dan mengundang darurat kesihatan serius kepada negara sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan SOP sedia ada.

“Kerajaan juga wajib memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas sebagai bantuan ekoran pelaksanaan PKP ini.

“Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi kepada individu dan organisasi,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram