Bergson beraksi cemerlang apabila meledak 11 gol dalam saingan Liga Malaysia setakat ini bersama JDT. Foto JOHOR SOUTHERN TIGERS

AKSI memukau Bergson Da Silva apabila meledak 11 gol dalam saingan Liga Malaysia musim ini  membuatkan Johor Darul Ta’zim (JDT)  tidak menunggu lama menandatangani khidmat pemain itu secara tetap.

Perkara mengenainya disampaikan oleh oleh Pengarah Sukan kelab, Martin Prest menerusi pengumuman di laman media sosial rasmi JDT, Johor Southern Tigers hari ini.

Pemain kelahiran Brazil itu sebelum ini dipinjamkan dari kelab Fortaleza sehingga pertengahan musim ini dan beraksi cemerlang mengetuai jentera serangan JDT.

Kelibat pemain berusia 30 tahun itu bakal ditagih JDT untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super selain saingan AFC Champions League 2021 (ACL) yang dijadualkan pada bulan Jun hingga Julai ini.

JDT berada dalam kumpulan G bersama wakil tuan rumah, Ratchaburi Mitr Phol, kelab dari Jepun, Nagoya Grampus dan kelab dari Korea Selatan, Pohang Steele

Terdahulu, Prest turut mengumumkan penyertaan pemain pertahanan Australia, Shane Lowry yang ditandatangani kelab secara percuma.

Tangkap layar kenyataan Tunku Ismail dalam komen beliau mengenai penyertaan Lowry.

Lowry sebelum ini menyertai Al-Ahli dari Qatar Stars League dan pernah beraksi untuk beberapa kelab Inggeris seperti Leeds United, Sheffield United, Milwall dan Leyton Orient.

Lowry juga pernah beraksi untuk Perth Glory dalam saingan A-League.

Dalam perkembangan berasingan, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan rancangan kelab menandatangani Lowry adalah bagi mengukuhkan benteng pasukan dalam mengharungi saingan ACL.

Perkara itu didedahkan dalam komen beliau pada hantaran Instagram Johor Southern Tigers yang mengumumkan kemasukan pemain itu.

Tunku Ismail pada masa sama mendedahkan JDT dijangka menyambar satu lagi pertahanan import untuk mengharungi musim depan.

“Partner dengan Mauricio untuk ACL. Apabila liga bermula, dia back up Mauricio in case ada apa-apa berlaku atau kecederaan, kita masih ada foreign defender. Hong Wan from Wolverhampton report untuk tempat Haris sebagai local.

“Kita ada lagi seorang Spanish defender with Asian passport by December from La Liga,” katanya.