DR NOOR HISHAM ABDULLAH

PURATA kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara meningkat semula kepada 1.10 berdasarkan kepada jangkaan kes seharian semalam.

Ia merupakan peningkatan buat hari ketiga berturut-turut berbanding kelmarin iaitu sebanyak 1.08 dan 1.06 pada hari Isnin.

Lebih membimbangkan, lima buah negeri dan wilayah bukan sahaja mencatatkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan tetapi juga melonjak di atas 1.20.

Lima negeri dan wilayah terbabit adalah Kedah dan Terengganu yang masing-masing mencatatkan kebolehjangkitan tertinggi iaitu sebanyak 1.27; Pahang (1.26); Labuan (1.25) serta Perak (1.21).

Nilai Rt yang direkodkan di tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Pahang masih berada dalam lingkungan melebihi 1.20 untuk hari ketiga berturut-turut.

Walaupun merekodkan jumlah tertinggi jangkitan positif COVID-19 semalam iaitu sebanyak 2,251 kes, namun kadar kebolehjangkitan di Selangor menurun kepada 1.14 berbanding 1.16 hari sebelumnya.

Menurut data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam media sosialnya, beberapa negeri lain turut merekodkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata nasional termasuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketiga-tiga negeri tersebut menyaksikan peningkatan nilai Rt dengan Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan 1.17 manakala Melaka sebanyak 1.18.

Baca artikel berkaitan: Kebolehjangkitan 11 negeri melebihi purata kebangsaan, Pahang dan Kedah tertinggi

Jumlah itu merupakan peningkatan berbanding direkodkan sehari sebelumnya iaitu Johor pada kadar 1.11, Melaka (1.16) dan 1.14 bagi Negeri Sembilan.

Selain tiga negeri di bahagian selatan tanah air itu, Kuala Lumpur turut mencatatkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan iaitu pada kadar 1.12.

Sebanyak tiga negeri dan wilayah lain pula merekodkan kadar kebolehjangkitan melebihi 1.00 iaitu Pulau Pinang (1.07), Sabah (1.06) dan Putrajaya yang juga 1.06.

Kelantan dan Sarawak pula merekodkan nilai Rt 0.96 manakala hanya enam kes dilaporkan di Perlis.

Sementara itu, dalam ciapan berasingan, Dr. Noor Hisham turut berdoa supaya semua barisan hadapan diberikan kekuatan bagi memerangi penularan COVID-19.

Pada masa sama, beliau turut menyeru petugas barisan hadapan untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan seikhlas hati demi memastikan pandemik itu reda.

“Semoga dipermudahkan segala urusan frontliners (barisan hadapan) membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Inilah fardu kifayah kita, melaksanakan tanggungjawab bersama. Marilah kita ikhlaskan hati, betulkan nawaitu dan semoga diberkati segala usaha serta pengorbanan kita. Tawakkal kepada Allah SWT. Amin,” katanya dalam ciapan tersebut hari ini.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Data dikongsi Dr. Noor Hisham juga menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan, selaras jumlah kes harian yang merekodkan antara 3,000 hingga 4,000 kes sejak hujung bulan lalu.

Jumlah kes positif COVID-19 malah telah mencecah 6,075 kes semalam yang juga merupakan kadar tertinggi pernah dicatatkan negara sejak pandemik itu melanda awal tahun lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram