Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa surat kebenaran rentas daerah pemandu serta penumpang kenderaan semasa bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Lebuh Raya Persekutuan, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENULARAN pandemik COVID-19 telah melanda negara sejak awal tahun lalu sehingga mencetuskan amalan kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian.

Prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, mendaftar masuk ketika memasuki mana-mana premis dan penjarakan fizikal adalah normal baharu bagi memastikan wabak itu dapat dibendung.

Namun begitu, masih ramai dalam kalangan rakyat seolah-olah tidak mengendahkan pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan.

Jika kelmarin seramai 513 individu telah ditahan, semalam 495 lagi dikesan telah melanggar pematuhan SOP.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 468 individu daripada jumlah keseluruhan ditahan itu telah dikompaun manakala 27 lagi direman.

Jelas beliau, seramai 143 individu telah ditahan kerana gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk ke premis manakala 126 lagi tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, kata Ismail Sabri, 84 didapati bersalah kerana tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, 47 tidak menjaga penjarakan fizikal dan 15 lagi akibat aktiviti di pusat hiburan.

Baca artikel berkaitan: Jangan salahkan SOP, salahkan perangai buruk sendiri!

Seramai lapan individu turut ditahan kerana merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran dan 72 lagi atas lain-lain kesalahan.

“Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 81,823 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 4,002 Pasukan Pematuhan melibatkan 18,127 anggota telah membuat pemantauan di 4,410 pasaraya, restoran (5,362), kilang (1,820), bank (3,968), pejabat kerajaan (1,057) dan penjaja (2,551).

“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,213), tempat ibadah (3,217), tempat riadah (1,508), terminal pengangkutan darat (1,611), terminal pengangkutan air (338) dan terminal pengangkutan udara (100),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di Perak ekoran peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 119.3 peratus di seluruh negeri Perak bagi tempoh 14 hari dengan peningkatan kes tersebut melibatkan keempat-empat mukim berkenaan.

Ismail Sabri berkata, keempat-empat mukim itu melibatkan mukim Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak dan mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama

Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta dan mukim Hulu Bernam Timur dalam daerah Muallim.

Kesemua mukim tersebut akan menghadapi PKPD selama dua minggu mulai Sabtu ini sehingga 4 Jun depan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram